
Vokalis kumpulan rock terkenal XPDC, Ali menyifatkan keputusannya untuk kembali menyerikan industri muzik tanah air adalah berpaksikan matlamat menyebarkan kebaikan kepada peminat.
Ali yang telah berhijrah mendalami ilmu agama sekitar tujuh tahun lalu berkata, dia pernah mendapatkan nasihat ustaz sebelum betul-betul kembali bergelar penyanyi bersama XPDC.
“Sejujurnya, saya agak sukar untuk menerima tawaran kembali aktif dalam industri sebab apabila sudah berhijrah, saya rasa macam tidak kena andainya mahu kekal menyanyi.
“Sehinggalah saya ada mendapatkan nasihat daripada seorang ustaz dan dia menggalakkan saya untuk kembali menyanyi. Menurut ustaz tersebut, inilah medium terbaik untuk saya melakukan kebaikan.
“Menerusi lagu, saya juga boleh membuat kebaikan dan berdakwah. Dari situ, saya dapat kekalkan hijrah, sekali gus menyebarkan perkara baik kepada orang lain juga,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album terbaharu XPDC baru-baru ini.
Selepas hampir 10 tahun, XPDC tampil dengan album studio terbaharu berjudul Doa yang mengandungi lagu-lagu bercorak dakwah meskipun masih mengekalkan nuansa muzik rock.
Menjelaskan lanjut tentang album berkenaan, Ali menjelaskan, ia tercetus selepas menerima permintaan tinggi daripada peminat setiap kali mereka mengadakan persembahan.
Mengandungi sebanyak 11 buah lagu antaranya, Adu Domba, Cinta Abadi, Sentosa, Rahmah dan Kata Pepatah. Album Doa sudah dipasarkan bermula bulan ini.
“Kami sentiasa ada dalam industri dan kerap membuat persembahan. Jadi dari situ, peminat sentiasa bertanya bila mahu keluar dengan album baharu.
“Jadi, kami sahut permintaan peminat. Sebab tiada yang mustahil walaupun tahu zaman sekarang tiada artis yang berani keluar dengan album penuh seperti ini,” katanya.
Kali terakhir XPDC yang dianggotai Izo (gitar), Lola (dram) dan Eddie (bass) hadir dengan album studio adalah menerusi Rasopariso pada tahun 2009.
Bagaimanapun, XPDC mengakui mereka mengambil masa selama dua tahun untuk menyiapkan album tersebut kerana terikat dengan kesibukan dengan aktiviti luar seperti mengerjakan umrah dan misi kemanusiaan di Syria.
Dakwah
Ketika ditanya tentang sasaran pendengar bagi material XPDC yang mengalami perubahan corak lagunya, Izo berkata, mereka masih mengekalkan kelompok sasaran peminat sedia ada meskipun pada masa sama terbuka menerima kedatangan peminat baharu.
“Kami sasarkan kepada mereka yang ada telinga untuk mendengar (ketawa). Sebenarnya sasaran kami adalah peminat yang membesar dan mengikuti kumpulan kami sejak dahulu.
“Sebab pada usia lanjut sebegini, apa lagi mesej yang ingin disampaikan kepada masyarakat kecuali tentang agama dan Tuhan. Ini adalah sebahagian daripada cara kami untuk berdakwah. Diharapkan menerusi album ini, kami dapat menyampaikan mesej baik kepada peminat,” katanya.
Album Doa dikeluarkan sebanyak 5,000 unit. Sebanyak 1,000 unit telah dijual secara terus kepada peminat semasa XPDC mengadakan persembahan di Pulau Pinang baru-baru ini.
“Berbanding album XPDC yang lain, inilah yang paling mahal kosnya kerana masa yang diambil untuk menyiapkannya sangat panjang selain mengambil kira kos lain yang terlibat. Harap peminat berpuas hati dengan album ini dan sebahagian lagu sudah dimasukkan ke dalam YouTube berserta muzik video rasmi,” kata Izo.