
Zizan Razak mengakui pernah pitam kerana kepenatan sewaktu menjalani penggambaran filem Polis Evo 2.
Naskhah Polis Evo yang ditayangkan sekitar tahun 2015 pernah menjadi antara filem yang mencatat kutipan pecah panggung iaitu sebanyak RM17.3 juta.
Justeru, kehadiran filem Polis Evo 2 yang bakal ditayangkan pada 22 November depan tentunya dilihat memberi tekanan hebat kepada pasukan produksi dan pelakon terlibat.
Tambahan pula, 2018 bagaikan tahun kebangkitan semula penonton untuk datang menyokong filem tempatan seperti Hantu Kak Limah, Munafik 2 dan terbaharu, Paskal sehingga mencapai kutipan luar jangkaan.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama pelakon Zizan Razak yang menjayakan watak Inspektor Sani dalam naskhah arahan Joel Soh dan Andre Chiew tersebut.
Kongsi lelaki berusia 34 tahun itu, jumlah kutipan bukan keutamaan, sebaliknya Zizan mahu peminat terhibur dan menghargai hasil kerja semua pihak selama hampir tiga bulan penggambaran berlangsung.
KOSMO!: Penggambaran naskhah Polis Evo 2 bukanlah satu hal mudah, sebagai salah seorang pelakonnya, boleh Zizan kongsi cabaran getir atau sebarang kecederaan sepanjang di lokasi?
ZIZAN: Selain Sam, saya juga mengalami kecederaan. Kejadian berlaku semasa di set penggambaran. Terdapat satu babak yang memerlukan saya menarik Sam, jadi apabila terlebih guna tenaga, saya mengalami kekejangan otot.
Ketika itu saya rasa tidak boleh berjalan sehingga terpaksa dibantu oleh pasukan produksi. Kemudian saya terus pitam dan memerlukan bantuan oksigen. Ia memang memberi pengajaran kepada saya dan doktor juga sudah pesan untuk sentiasa berwaspada, contohnya bawa bekalan gula-gula agar insiden sebegitu tidak terjadi lagi.
Berapa jam tempoh penggambaran yang dijalankan dalam satu hari?
Sebenarnya tidak lama, cuma kami perlu mengulang babak tersebut sehingga pengarah berpuas hati. Bagaimanapun, kami memang perlu memberi komitmen penuh kerana terdapat babak aksi yang perlu berlari, melompat sambil membawa senjata api.
Ada cabaran lain yang anda hadapi sepanjang tempoh penggambaran?
Saya rasa cabaran pada skrip yang memerlukan pelakon bermain dengan emosi. Hal ini lebih mencabar jika dibandingkan dengan aksi yang perlu saya bawa kerana emosi memerlukan ia lahir dari hati.
Selain itu, saya juga berdebar hendak meletakkan kualiti lakonan apabila digandingkan dengan barisan nama hebat seperti pelakon Hasnul Rahmat, Syafie Naswip dan Hairul Azren yang sememangnya mempunyai kelas lakonan tersendiri. Namun, kehadiran mereka semua sangat membantu dan segalanya berjalan dengan lancar.
Tahun ini boleh dikatakan tahun kebangkitan filem Melayu, adakah reaksi yang bakal diberikan peminat untuk Polis Evo 2 memberi tekanan kepada anda, lebih-lebih lagi naskhah terdahulu berjaya mencatat kutipan lumayan?
Sejujurnya saya tidak pernah meletakkan kutipan sebagai keutamaan. Paling penting adalah saya mahu orang terhibur dan menghargai hasil kerja kami. Itu sudah cukup besar buat saya.
Jika kutipan tinggi tetapi ada kata-kata sumbang mengatakan Polis Evo yang pertama lagi bagus pun tiada gunanya.
Saya tidak mahu menjanjikan lebih, apa yang penting saya mahu orang tengok dan nilai sendiri hasil kerja kami.
Boleh kongsi projek terbaharu anda selepas ini?
Selepas ini saya akan terlibat dalam filem arahan Ghaz Abu Bakar.
Tajuknya saya lupa tetapi filem berkenaan akan menampilkan lakonan bersama Zahirah McWilson, Luna Maya dan Bell Ngasri.
Bagaimana pula dengan filem berjudul Peluang Kedua lakonan anda bersama produksi Indonesia?
Filem itu baru ditayangkan pada 11 Oktober lepas. Ada pengalaman lucu yang saya lalui ketika malam gala pelancaran filem berkenaan. Sebelum tayangan berlangsung, tiada seorang wartawan atau peminat pun yang datang menemui saya.
Bagaimanapun, selepas filem itu tamat, baru saya dikejar oleh peminat dan mereka memuji lakonan saya. Mereka turut mengimbas kembali lakonan saya dalam filem sebelum ini iaitu KL Zombie dan KL Gangster.
Menerusi sambutan daripada filem berkenaan, adakah anda akan terbuka menerima jika dilamar untuk membintangi karya lain dari Indonesia nanti?
Memang banyak tetapi saya perlu tapis dan dahulukan tawaran lakonan di sini (Malaysia). Saya perlu mengutamakan industri sendiri.
Jika saya menerima tawaran dari Indonesia, tidak mustahil jadual seni di Malaysia akan terganggu, jadi saya tidak mahu hal itu berlaku.