
Penerbit terkenal, Datuk Rafiena Ezanee Ramli terpaksa menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) selepas anak kucing kesayangannya terperangkap dalam enjin kereta miliknya.
Menurut Rafiena, 35, kejadian berlaku di kediamannya ketika dia mahu memulakan perjalanan ke pejabat yang terletak di Shah Alam, Selangor.
"Pagi tu terkejar-kejar nak pergi mesyuarat tapi kucing buat hal sesat pula dalam Ferrari, dalam banyak-banyak kereta pandai pula dia pilih kereta tu.
"Anak kucing berusia tiga bulan itu memang saya bela dan suka bermain di kawasan parkir kereta.
"Terpaksa panggil JPAM untuk bantu keluarkan, tapi kucing itu masih tak mahu keluar," tulisnya di instagram.
Penerbit drama Syurgaku Tak Sempurna ini berkata kucing tersebut terperangkap di bahagian enjin sehingga dia perlu membawa kenderaan tersebut ke bengkel.
"Balik dari pejabat, tengok tak selesai juga, kesudahannya kena towing bawa pergi workshop.
"Kucing itu dipercayai masuk melalui lubang di bawah kereta dan berjalan sehingga ke kawasan enjin lalu terperangkap di situ.
"Alhamdulillah, ia berjaya dikeluarkan dengan selamat tanpa kecederaan, cuma bulunya sahaja yang comot," katanya.