Mengakui hubungannya dengan kekasih, Hafreez Adam masih baik, Zara memberi ruang dan masa untuk masing-masing bertenang terlebih dahulu.
Mengakui gemarkan cabaran antara faktor mengapa pelakon dan penyanyi Zara Zya menerima tawaran mengendalikan malam anugerah berprestij Anugerah Bintang Popular ke-31 (ABP31) yang akan berlangsung pada 7 Oktober depan.
Walaupun tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam bidang pengacaraan, namun Zara, 33, percaya pentas ABP kali ini akan menampilkan sisi berbeza dirinya.
Malam kemuncak ABP31 akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan ia menyaksikan Zara bakal bergandingan dengan Ajak Shiro serta Janna Nick sebagai hos.
Ikuti temu bual bersama pelakon drama Mona Lisa itu ketika ditemui pada majlis pengumuman pra kemuncak ABP31 baru-baru ini.
Tahniah kerana terpilih sebagai pengacara ABP31. Boleh Zara komen sedikit tentangnya?
ZARA ZYA: Sejujurnya saya berasa bertuah apabila menerima tawaran ini sebab seperti semua orang sedia maklum, acara ini sangat besar. Ini adalah peluang yang mungkin hadir sekali seumur hidup. Memandangkan saya sendiri memang gemar melakukan sesuatu yang boleh mencabar diri. Jadi atau tidak, itu belakang kira. Apa yang penting, saya sudah mencubanya.
Anda berkawan rapat dengan beberapa pengacara terkenal seperti Farah Fauzana dan Jihan Muse, jadi adakah keputusan menerima tawaran ini juga dipengaruhi oleh mereka?
Langsung tidak, tetapi mereka ada juga bagi sokongan.
Mereka percaya saya boleh lakukan dan ingin saya terima. Malah, kawan-kawan ada juga memberi pesanan, cadangan dan ilmu yang berguna kepada saya. Cuma ia tidaklah 100 peratus sebab cara pembawakan diri masing-masing berbeza.
Jadi adakah anda bersedia dengan sebarang kritikan tentang pengacaraan pada malam itu nanti?
Kita tidak buat salah pun, orang tetap kritik juga. Apa sahaja yang kita buat, ia akan jadi perhatian ramai orang. Saya buka langkah kaki pertama pun, orang sudah mula menilai kita. Jadi saya percaya kepada cara kita membawa diri di hadapan orang.
Adakah anda melihat pentas ABP31 menjadi platform untuk bergelar pengacara selepas ini?
Tidak juga sebab keutamaan saya memang untuk dunia lakonan. Kalau ada tawaran datang, ia boleh diterima tetapi saya sendiri bukannya ada pengalaman.
Cuma untuk masa depan, siapa tahu kalau saya sudah semakin berani dan banyak idea untuk maju ke depan. Sebab saya akui tidak berani untuk terima sebarang kerja tapi otak kosong.
Baiklah, beralih sedikit kepada perihal peribadi anda. Baru-baru ini anda ada memuat naik status dalam Instagram berkaitan dengan perasaan dan ramai mengandaikan itu berkaitan dengan hubungan cinta anda bersama Hafreez Adam. Komen?
Sebenarnya saya malas mahu komen panjang tentang perkara ini. Cuma setakat yang saya boleh kata, ini adat biasa untuk pasangan bercinta. Saya akui timbul perasaan bersalah selepas memuat naik status sebegitu sebab rasanya tidak patut kongsi supaya orang tidak tertanya-tanya dan menimbulkan spekulasi lain. Saya akui tindakan itu dibuat dalam keadaan marah dan tidak berfikir panjang terlebih dulu.
Apabila ada yang kata anda dilihat terlalu beria untuk berkongsi kisah cinta kepada umum. Komen?
Ada bermacam reaksi daripada orang ramai yang rata-rata kata saya tidak patut beria kongsi tentang cinta.Namun, harus diingat, itu hak peribadi saya. Kalau tidak tunjuk, orang cakap benda lain dan apabila kongsi, timbul pula isu berbeza. Jadi apa lagi yang boleh saya buat untuk kongsikan kebahagiaan kepada peminat.
Adakah selepas ini anda akan lebih berhati-hati berkongsi kisah peribadi?
Ia bergantung kepada keadaan sebenarnya. Sebab saya suka buat benda bahagia yang mahu dikongsikan kepada orang ramai. Cuma apabila jadi begini, ia di luar kawalan saya.
Malah ada peminat yang menghentam Hafreez dengan meninggalkan komen bukan-bukan. Hakikatnya apa yang berlaku antara kami tidak teruk mana. Buat masa ini, saya beri ruang untuk masing-masing bertenang dulu. Apa-apa pun doakan yang terbaik untuk kami.