Syarikat luar negara labur RM500 juta untuk industri seni kreatif Malaysia


Datuk Wendy Wong bersama wakil daripada syarikat pelaburan di Afrika Selatan.

Dua penerbit filem dan drama tempatan, Datuk Wendy Wong dan Nancy Foo mara selangkah dalam karier mereka apabila menjadi perunding pelaburan syarikat Linetrust Offshore Ltd. yang melabur dalam penyelidikan dan pembangunan bidang teknologi mesra alam.

Wendy yang kini berada di Afrika Selatan dalam rangka mesyuarat berhubung pelaburan terbaharu syarikat berkenaan berkata, sebanyak AS$120 juta (RM500 juta) daripada jumlah keseluruhan bernilai AS$950 juta (RM4 bilion) akan disalurkan untuk pembangunan industri seni kreatif di Malaysia.

"Meskipun pelaburan itu merangkumi banyak perkara lain seperti pembangunan teknologi, namun industri hiburan juga tidak ketinggalan dalam mendapat perhatian.

"Pelaburan yang diterima berjumlah RM500 juta itu akan digunakan untuk melancarkan sebuah saluran televisyen atas talian. Ia akan diumumkan di Malaysia dalam sebuah majlis pada bulan depan," katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.



Wendy berharap usaha itu akan memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi di negara ini merangkumi industri seni kreatif yang dilihat boleh terus berdaya saing dengan platform digital sedia ada.

"Jika dilihat pada zaman sekarang, trend pengguna lebih suka menonton drama atau melayari muzik di telefon pintar sahaja. Jadi ia adalah salah usaha untuk saya membantu ekonomi Malaysia dengan sebuah projek yang bagus untuk pembangunan industri hiburan," katanya.

Dalam pelaburan besar itu, syarikat Linetrust Offshore Ltd. yang berpengkalan di Majuro, Kepulauan Marshall bekerjasama dengan syarikat Cosmo Solutions Pvt. Ltd. dalam penyelidikan dan pembangunan bidang teknologi microcontroller.

Post a Comment

Previous Post Next Post