Pencarian Juara Suara capai matlamat


Nor Akmar (tengah) dinobatkan sebagai juara, naib juara, Ketty Natalia (kiri) dan pemenang ketiga Amyza (kanan).

Konsert Akhir Suara Juara yang menyaksikan usahasama Dr. Irma Entertainment dan JohorFM telah berlangsung dengan meriah pada 8 September 2018 di Auditorium Sultan Iskandar, RTM Johor telah menyaksikan kemunculan Nor Akmar Natasha Hasni dinobatkan sebagai juara, naib juara Ketty Natalia Rasul Khan dan pemenang ketiga Amyza Syafiqah Suhaimee.

Juara membawa pulang hadiah berupa piala, wang tunai RM5,000 berserta kontrak rakaman bersama Dr. Irma Entertainment termasuk program promosi bernilai RM100,000. Hadiah bagi naib juara pula sebuah piala berserta wang tunai RM3,000, manakala tempat ketiga pula mendapat sebuah piala dan wang tunai RM2000.

Juri jemputan bagi konsert akhir tersebut terdiri daripada penyanyi popular Ronnie Hussein dan penyanyi veteran serta penggiat seni di Johor Bahru, A. Rahman Kamarudin,

Pada pertandingan yang diadili berdasarkan aspek vokal, persembahan, kreativiti dan penampilan diri tersebut, para peserta diiringi sepenuhnya oleh Kombo RTM, Johor yang diketuai Rudy Yasmin. Konsert diterbitkan oleh DJ Azura daripada JohorFM, manakala Pengarah Penyiaran Johor, Abdul Hadi Mohd Yusoff bertindak selaku penaung.

Sebagai memenuhi janji kemenangan, single Nur Akmar yang sedang dalam proses pembikinan merupakan sebuah lagu bergenre balada bertajuk Sendiri. Ia dijadual dilancarkan sebelum akhir tahun 2018. Nur Akmar juga telah menandatangani kontrak bersama Dr. Irma Entertainment dan pengurusan Leroy Crew Productions sebagai artis naungan dan kontrak rakaman bagi single yang dijanjikan sebagai hadiah utama Suara Juara. Rangka promosi akan dilakukan sebaik sahaja single dilancarkan.



Pertandingan Suara Juara berkenaan merupakan program pencarian bakat menerusi media sosial yang masuk edisi ketiga dan buat pertama kalinya berkolaborasi dengan JohorFM. Selain Nur Akmar dari Pulau Pinang, Ketty Nathalia (Johor Bahru) dan Amyza Syafiqah (Pahang), kemuncak Suara Juara turut disertai Muhamad Taufiq Mansur (Kuala Lumpur), Wan Nur Najihah Mohammed Akhir (Kuala Lumpur) dan Nurul Aqilah Mohamad Zafri (Pahang).

Pertandingan yang dimulakan sejak Mei 2018 dengan kolaborasi bersama Malaysian Cover di Instagram tersebut telah menarik lebih daripada 100 penyertaan. Setiap peserta diwajibkan menyanyi lagu-lagu terbitan Dr. Irma Entertainment. dan pemilihan peserta ke peringkat seterusnya dibuat berdasarkan ‘views’ terbanyak.

Tiga peserta dengan ‘views’ tertinggi dan 12 peserta saringan telah terpilih ke peringkat Separuh Akhir melalui proses pemilihan penentuan apabila empat orang peserta adalah pilihan Dr. Irma Entertainment, empat orang peserta pilihan JohorFM dan empat orang lagi peserta pilihan MalaysianCover menjadikan peserta separuh akhir seramai 15 orang. Semua peserta separuh akhir telah melalui beberapa sesi ‘coaching’ bagi menyediakan mereka untuk melangkah ke persada seni.

Dr. Irma Entertainment pula merupakan sebuah label muzik tempatan yang sedang meningkat naik dan beraspirasi untuk mewarnakan dan memeriahkan persada hiburan tanah air dengan penawaran muzik yang bersesuaian dengan gaya dan citarasa pencinta seni masa kini. -



Post a Comment

Previous Post Next Post