Mira Filzah nafi sibuk buat persiapan perkahwinan


Pelakon dan pengacara popular Mira Filzah menafikan khabar angin mengatakan dia kini sibuk membuat persiapan perkahwinan dengan pelawak, Zizan Razak.

Mira atau nama lengkapnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 25, mengakui berita tersebut adalah tidak benar memandangkan kedua-dua sibuk menguruskan kerjaya masing-masing.

Kata pelakon drama rantaian Rahsia Hati Perempuan itu, kepadatan jadual kerja membuatkan dia tidak mempunyai masa untuk memikirkan soal peribadi terutama mengakhiri zaman bujang dalam tempoh masa terdekat.

"Tidak dinafikan ada yang bertanyakan tentang hal itu tetapi sejujurnya ia adalah tidak benar. Tiada sebarang majlis yang akan diadakan apatah lagi berkahwin," ujarnya yang ditemui di Majlis Pelancaran Kempen Salam Taiwan di sini petang tadi.



Mengulas lanjut, Mira turut mengakui selesa berkawan dengan Zizan, 34, yang disifatkan sebagai seorang lelaki yang ikhlas dan telus dalam bersahabat dengannya.

"Sekiranya mengatakan ciri-ciri, saya tidak meletakkan sebarang kriteria untuk itu tetapi sepanjang berkawan dengan Zizan, saya selesa dengannya.

"Buat masa sekarang saya lebih fokus kepada kerjaya lakonan, pengacaran dan kini tanggungjawab sebagai Duta Pelancongan Taiwan berbanding memikirkan soal peribadi," jelasnya.

Mira dipercayai mula berkawan rapat dengan pelakon filem Abang Long Fadil itu sekitar dua tahun lalu.

Post a Comment

Previous Post Next Post