Aishah harap tidak digam Astro


Penyanyi Aishah berharap dirinya tidak digam pihak Astro selepas membuat pendedahan berkenaan isu hadiah barang kemas tajaan Datuk Seri Vida yang didakwa tiada nilai.

Menurut Aishah, 53, meskipun berasa pelik dengan keputusan pihak Astro yang mahu mengambil sikap berkecuali berhubung isu berkenaan, beliau mengharapkan layanan adil daripada pihak stesen televisyen yang menerbitkan program Gegar Vaganza musim keempat (GV4).

"Saya rasa pelik sebab GV4 itu merupakan program mereka (Astro). Astro kata mereka tidak mahu terlibat dalam isu ini dan saya harap mereka mengotakan janji.

"Jika tidak masuk campur tiada keperluan untuk saya digam daripada Astro. Walaupun begitu saya tidak pernah lupa GV4 merupakan program yang bagus untuk saya membuat kemunculan semula dalam industri muzik," kata Aishah di sini sebentar tadi.

Sementara itu, Aishah menegaskan bukan kerana kesempitan hidup sehingga terdesak untuk menjual barang kemas itu, sebaliknya ingin diubah suai ke saiz yang lebih kecil.



"Saya tahu tentang nilai sebenar barang kemas itu dua minggu selepas menerimanya. Namun, saya mengambil masa hampir setahun selepas usaha menerusi beberapa saluran yang betul gagal.

"Saya sedih kerana dituduh mahu menjual barang kemas itu demi wang. Walhal saya mahu ubah suai ke saiz yang lebih kecil dan ketika itu saya tahu nilai sebenar barang kemas tersebut," ujar Aishah.

Terdahulu Aishah mencetuskan kontroversi apabila mendedahkan hadiah tambahan berupa barangan kemas yang bernilai RM80,000 tajaan Vida dalam GV4 sebenarnya tidak mempunyai nilai.

Post a Comment

Previous Post Next Post