Mel lebih disiplin selepas diserang strok


Mel yang pernah menjadi vokalis kumpulan Wings kini lebih senang mendendangkan lagu-lagu bersifat ketuhanan.

Biarpun sudah hampir empat tahun kejadian sejak Ismail Zainuddin atau lebih dikenali sebagai Mel Wings diserang angin ahmar, namun kesannya sehingga sekarang masih lagi dirasai.

Kata Mel, 52, strok yang pernah melumpuhkan separuh badannya pada tahun 2014 itu memberikan banyak pengajaran kepadanya untuk lebih berdisiplin terutama dari segi menjaga pemakanan harian.

Tambahnya lagi, dua tahun pertama sewaktu menjalani proses pemulihan itu turut membuka matanya tentang siapa sahabat sebenar dalam hidup, lebih-lebih lagi apabila sumber pendapatannya terjejas teruk kerana tidak mampu bekerja.

Kini, setiap kali mengingatkan kejadian tersebut, Mel yang popular dengan lagu Semalam Yang Hangat bersama kumpulan Wings itu akan bermuhasabah diri dan lebih mendekatkan diri dengan Allah S.W.T.

Apakah kesan paling ketara daripada sakit angin ahmar itu pada fizikal Mel?

MEl: Kesannya saya masih mengalami sedikit masalah pertuturan seperti kesukaran menyebut beberapa jenis huruf contohnya R dan S biarpun sudah lebih empat tahun serangan itu berlaku.

Saya juga masih bergantung kepada pengambilan ubat untuk mengawal tekanan darah dalam badan dan masih ada sedikit ketulan darah beku di dalam otak belah kiri saya.

Bagaimanakah kehidupan anda selepas kejadian tersebut?

Saya lebih berdisiplin terutama dalam pengambilan makanan kerana ada sesetengah jenis makanan seperti kacang saya perlu elakkan. Jika sebelum ini saya agak ambil mudah dengan hal makanan, namun sekarang saya perlu lebih berhati-hati kerana risiko untuk serangan itu datang semula sentiasa ada.



Adakah hidup anda mengalami perubahan yang mendadak akibat serangan itu?

Ya, pastinya kerana hampir dua tahun saya tidak boleh bekerja dan hilang punca pendapatan. Pada waktu itu, barulah saya dapat melihat siapa kawan dan siapa lawan dalam hidup ini.

Sahabat saya, Ali XPDC banyak membantu pada waktu itu dan memberi semangat untuk saya kembali pulih. Sekarang apabila nikmat kesihatan ini sudah kembali, saya semakin kerap memenuhi undangan ceramah sebagai satu daripada cara untuk saya berkongsi pengalaman dengan orang di luar sana.

Pernahkah anda terfikir untuk kembali aktif menyanyi?

Saya masih menyanyi, namun hanya untuk lagu-lagu bersifat ketuhanan dan tidak lagi seperti dulu. Saya selesa dengan kehidupan sekarang dan tidak terasa untuk aktif seperti 20 tahun lalu. Dahulu duit senang dapat senang habis, sekarang walaupun tidak sebanyak dahulu, namun memang susah untuk habis. Saya yakin kerana keberkatannya, jadi saya mahu terus begini, berdakwah dan mengajak orang ke arah kebaikan.

Anda pernah memberitahu jika boleh tidak mahu anak-anak mengikut jejak langkah dalam industri. Jadi adakah anda menghalang hasrat anak, Ewal (bekas peserta Akademi Fantasia 2014) apabila dia mahu menjadi penyanyi?

Jika ditanya pada pendapat saya, memang ada beritahu kalau boleh tidak payahlah kerana saya tahu dunia hiburan itu macam mana. Namun dalam masa sama, saya juga faham Ewal anak muda, jadi tidak boleh berkeras nanti dia akan lebih jauh daripada saya. Apa yang saya boleh lakukan pada masa itu adalah sentiasa menasihatinya dan memantau perkembangannya dari jauh.

Adakah anda membenarkan Ewal menggunakan nama anda sebagai platform sewaktu membina kerjaya seninya?

Tidak, sejak awal lagi saya tegaskan kepada dia jangan gunakan nama saya kerana mahu dia merasai sendiri jatuh bangun menjadi anak seni. Kalau orang sudah tahu dia anak saya, biarkanlah tetapi saya selalu berpesan jangan dijaja bahawa dia anak Mel Wings.



Post a Comment

Previous Post Next Post