Wafa Abdul Kadir hidap kanser peritoneal tahap 4


Pelakon senior, Wafa Abdul Kadir yang sebelum ini pernah dilaporkan mengidap kanser ovari dua tahun lalu kini berdepan pula kanser peritoneal tahap 4.

Perkembangan terbarunya itu dikongsi Penasihat Agama dan Media Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Konsultan Perawatan Islam, Datuk Ustaz Tuan Asmawi Tuan Umar yang menyatakan pelakon itu pasrah menempuhi kehidupannya meskipun menahan kesakitan dan tidak berupaya untuk banyak bergerak.

"Bertemu dengan wanita cekal ini, Wafa Abdul Kadir, 52, atau saya panggil Kak Long @wafaabdulkadir yang mengidap kanser peritoneal (sejenis kanser yang jarang berlaku), banyak mengingatkan diri betapa ujian Tuhan itu datang dalam pelbagai cara.

"Diduga berturut-turut bermula pada 2013, akibat kemalangan jalan raya melibatkan pembedahan membetulkan tulang leher sehinggalah disahkan menghidap kanser ovari dua tahun lalu dan yang terkini, kanser peritoneal, Kak Long melihat segala-galanya dari sudut positif.

"Mengandaikan sakit itu berupa isyarat yang dihadiahkan oleh Yang Esa, sekali gus memberi peluang untuk dia lebih mendekati ALLAH (SWT), dia tidak pernah kesal dengan yang berlaku," katanya menerusi Facebook, Tuan Asmawi Tuan Umar (Voiceover Adiguru).

Dalam pertemuan yang dikongsi Tuan Asmawi bersama isteri, Farisha Irwayu yang juga seorang pelakon, Wafa pada awalnya mendapat simptom kanser, pada penghujung tahun 2014.

"Pada mulanya ingatkan simptom menopaus atau kesan daripada pembedahan tulang sebelum ini. Apabila berjumpa pakar tulang, tiada punca daripadanya. Jadi saya pergi mendapatkan pakar sakit puan. Dari situlah saya dikesan ada kanser ovari yang sudah merebak ke beberapa bahagian termasuk ovari, uterus dan saluran fallopian.




Perkongsian Tuan Asmawi Tuan Umar di Facebooknya.

"Cara terbaik ialah melalui pembedahan. Jadi saya dibedah pada April 2015. Tetapi pada awal 2016, saya kena demam, sembelit, cirit-birit dan muntah hijau yang teruk. Saya masuk hospital kerana sangkakan keracunan tetapi kemudian doktor mendapati ada saki-baki sel kanser yang melilit sekitar usus dan dinding ovari," katanya.

Kata Wafa, dia tidak boleh dibedah dan harus mendapatkan rawatan kemoterapi dan telah menjalani 18 kali proses kemoterapi bagi mematikan sel kanser dan selesai pada Jun 2016.

Tetapi baru-baru ini, sekali lagi mengalami demam, muntah dan cirit-birit sehingga hijau kehitaman dan dibawa ke hospital.

"Darah saya tidak stabil dan hasil ujian, doktor sahkan yang saya menghidap kanser peritoneal, sejenis kanser yang jarang berlaku. Kanser ini merebak ke lapisan dalam dan banyak terdapat di luar usus.

Wafa memberitahu dia tidak berani mencuba perubatan alternatif kerana pernah mencuba rawatan sedemikian sehingga berasa serik kerana semasa menggunakan sejenis daun herba, tekanan darahnya jatuh mendadak dan sel darah putihnya pula bertambah. .

Namun dia ada mengamalkan perubatan alternatif seperti fisioterapi dan akupuntur yang memang digalakkan oleh doktor dan makan mengikut saranan doktor dan pakar pemakanan.



Post a Comment

Previous Post Next Post