Liza Hanim sabar tunggu lot tanah


Liza Hanim ambil pendekatan sabar dan mengaturkan pertemuan dengan pihak penaja bagi menuntut hadiah lot tanah hasil kemenangan dalam GV4.

Selepas lapan bulan bergelar naib juara program Gegar Vaganza musim keempat (GV4), penyanyi Liza Hanim mengakui, belum menerima salah satu hadiah yang dijanjikan iaitu lot tanah daripada pihak penaja.

Turut menerima nasib yang sama ialah juara GV4, penyanyi Aishah dan pemenang tempat ketiga, Lan Solo. Isu kelewatan pemberian lot tanah ini timbul rentetan daripada pendedahan Aishah yang mendakwa hadiah tambahan berupa rantai berlian yang ditaja oleh Datuk Seri Vida tiada nilai.

Menurut Liza, dia mengambil sikap berdiam diri berhubung isu tanah tersebut kerana percaya perkara berkenaan boleh diselesaikan secara baik.

Selain itu, Liza juga berkongsi tentang keterujaannya terlibat dalam konsert Semalam Di Malaya yang merupakan persembahan kali pertamanya di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 15 dan 16 September depan sempena sambutan Hari Malaysia.



Boleh kongsikan perasaan Liza dapat mengadakan konsert di DFP nanti?

Liza Hanim: Sudah tentu saya gembira dan teruja kerana selepas 21 tahun berkecimpung dalam bidang seni, barulah saya berpeluang mengadakan persembahan di DFP. Bagi seseorang penyanyi, dapat beraksi di pentas DFP merupakan satu profil yang besar kerana bukan calang-calang orang berpeluang mengadakan persembahan di situ.

Apakah perkara yang membuatkan anda teruja untuk persembahan di DFP?

Persembahan bersama orkestra yang membuatkan saya begitu teruja. Biarpun saya tahu bukan mudah untuk membuat persembahan dengan orkestra, tetapi itu adalah impian setiap penyanyi. Gubahan muziknya secara automatik akan membuatkan seseorang penyanyi tampil berbeza di atas pentas.

Adakah anda pernah berasa cemburu apabila terdapat penyanyi yang lebih junior mendapat peluang lebih awal mengadakan persembahan di DFP?

Saya berehat daripada dunia nyanyian selama lapan tahun sejak 2009 kerana memberi fokus kepada keluarga dan perniagaan. Saya percaya jika masih aktif dalam tempoh berehat itu, mungkin saya telah pun membuat persembahan di DFP. Saya tidaklah cemburu kerana percaya Allah beri rezeki dalam pelbagai bentuk.



Selain konsert, apakah perkembangan terbaharu kerjaya seni anda?

Saya sedang sibuk mencari material terbaharu untuk single akan datang. Sekarang masih dalam proses mencari lagu yang sesuai untuk dikeluarkan pada tahun depan. Ada juga yang mencadangkan untuk saya menggubah semula lagu yang tidak diketengahkan dalam album terdahulu. Namun, saya harus menilai semula idea itu kerana bimbang tidak relevan dengan masa kini. Soal mencipta lagu sendiri memang saya tolak kerana bimbang akan syok sendiri. Jadi adalah lebih baik hal sebegitu diserahkan kepada orang yang pakar iaitu komposer.

Mengapakah anda berdiam diri soal hadiah berupa lot tanah yang masih belum diterima?

Buat masa ini, pihak saya telah membuat semua tindakan yang perlu diambil. Saya percaya, pihak pengurusan telah menghubungi pihak penaja dan kami dalam proses perbincangan. Rasanya belum sampai tahap perlu digembar-gemburkan. Jika orang lain ingin bersuara itu hak mereka.

Jadi, apakah penyelesaiannya terhadap isu hadiah lot tanah tersebut?

Pihak pengurusan dan produksi sudah berbincang dengan penaja. Kami juga akan mengadakan perjumpaan selepas sambutan Hari Kemerdekaan untuk membincangkan soal tempoh dan hal berkaitan hadiah. Oleh itu, saya tidak mahu mengambil sebarang risiko yang boleh merosakkan perkara tersebut. Saya percaya ia masih boleh diuruskan dengan cara baik.

Mengapakan anda masih boleh bersabar meskipun pemberian hadiah tersebut tertangguh selama lapan bulan?

Saya tidak tahu proses yang dilalui oleh orang lain, namun secara peribadi saya masih okey dan mampu bersabar. Apa yang saya lihat, pihak penaja masih boleh dipercayai. Saya akan pastikan mendapat hadiah seperti yang dijanjikan. Jika hasil daripada perjumpaan tersebut tidak memberangsangkan, saya akan mengambil langkah berbeza. Namun, selagi semuanya masih okey saya akan tunggu dengan sabar.

Post a Comment

Previous Post Next Post