Jurus hiburan, One Two Jaga Nam Ron


Berani Mengetengahkan isu rasuah dalam jabatan polis menerusi One Two Jaga, Nam Ron yakin pendekatannya bukan untuk menjatuhkan hukum sama ada jahat atau baik terhadap mana-mana pihak.

NAM RON berusia 49 tahun, berbaki setahun lagi sebelum menjengah ke angka 50.

Ironi, untuk lelaki dengan sungai kesenimanan yang mengalir panas pada urat darahnya itu, angka tersebut hanyalah suatu indikator terhadap keghairahan cintanya selama ini.

Barangkali juga zaman emas atau pepatah Inggeris menyebutnya sebagai ‘the golden age’ sedang terbentang buat Nam Ron, sesudah jenuh beliau menuruni kerikil-kerikil tajam di belantara kerja lakon dan pengarahan selama ini.

Bapa kepada tiga orang anak yang mahu memaknakan pengkaryaan sebagai makanannya sejak tahun 1989 itu juga sedang berelovusi dengan zaman.

Jika bukan menjadi emas tempawan, setidak-tidaknya Nam Ron mungkin antara kristal berharga buat pengikut dunia teater atau perfileman negara zaman ini.

Berbunyi sedikit melangit namun pengikut kerja-kerja anak Perlis yang sudah hampir 30 tahun bernafas dalam gelanggang seni itu pasti bersetuju dengan penyataan tersebut. Buktinya, hujung tahun lepas, Nam Ron yang tidak pernah tersenarai dalam kategori pelakon lelaki popular itu menang anugerah tertinggi dambaan semua aktor iaitu Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-29 menerusi naskhah Redha.



Pemikiran

Bermula dengan fasa indie, perlahan-lahan acuan yang dikerjakannya diterima dalam aliran perdana.

Bergerak dari tampuk aktivis teater dan filem bebas, anak seni dengan mata kasar bukan berwajah selebriti bernama Shahili Abdan itu berdiri sebagai pelakon dan pengarah yang dihormati oleh generasi serta industri yang dihayatnya dengan hemat seorang pengkarya arus perdana.

Masih setia dengan bentuk dan ideologi yang dicanai bersama fahaman yang dipercayai, asas tersebut menjadi jurus pandang dalam setiap pengkaryaannya.

“Ya, saya sudah 49 dan hampir masuk umur 50 tahun, tetapi baru nak menyelam ke arus perdana. Sebenarnya kerja saya masih membawa stail dan bentuk yang serupa cuma perkongsian jadi lebih meluas. Dahulu, saya buat lebih ke arah untuk menyampaikan pemikiran sendiri tanpa berfikir untuk ke arus perdana.

“Dahulu kalau berkarya, betul-betul dengan gaya indie. Contohnya, semasa buat filem pertama bertajuk Gedebe, ketika itu langsung tidak terfikir mahu masuk panggung.

“Sebenarnya, arus perdana yang sedut saya masuk tanpa ia dijadikan satu motif. Ia datang secara alami tanpa saya ada tekanan untuk masuk ke arus ini. Mungkin penerimaan orang terhadap kerja saya semakin terbuka,” cerita Nam Ron yang bermula sebagai menyertai beberapa kumpulan teater di Perlis sebelum menyambung pengajian di ASK kini Akademi Seni Kebangsaan dan Warisan (Aswara).

Percaya audiens semakin bijak berserta iklim politik dan sistem sosial yang sedang berubah, pendekatan yang dahulunya difikirkan payah diterima atau tiada permintaan khalayak arus perdana, kini menunjukkan petanda baik. Dengan kata lain, beliau juga sedang berjalan cantik di laluan yang menampakkan harapan.

“Penonton pun mengharapkan sesuatu yang baharu. Macam yang selalu dikicaukan dalam media sosial, mereka minta sesuatu yang lain. Saya percaya kalau peminat tahu dan diberi pendedahan tentang sesebuah karya yang berani, mereka akan cari dan mahu lihat sendiri.

“Saya bagi contoh filem Gadoh. Dahulu ia tidak boleh masuk panggung sebab dikatakan menyentuh isu perkauman. Tetapi apabila dimasukkan ke dalam YouTube, sampai sekarang ia masih ditonton.”

Sedar diri dan ruang, sebagai karyawan baik teater atau filem, Nam Ron kuat berpegang bahawa peranannya adalah melontarkan sesuatu isu atau pandangan ke dalam fikiran masyarakat.

“Pembikin bukan bagi solusi tetapi membiarkan khalayak mendebatkan isi karyanya. Macam Gadoh juga, sebenarnya sampai sekarang ia masih ditayangkan di institusi pengajian dan menjadi bahan diskusi pelajar filem. Benda-begini yang bagi impak.

“Kita buat filem bukan untuk hiburan semata-mata, bukan saya kata filem saya tiada unsur hiburan tetapi biarlah ia boleh cernakan sesuatu,” jelasnya yang bersetuju filem bukan naskhah ceramah.



Tanggapan salah

Bertemu dengan lelaki yang pertama kali didekati menerusi filem Paloh itu, bicaranya meluas mencakupi banyak aspek, termasuklah hal remeh asal usul nama glamornya dan elemen hiburan yang menjadi tuntutan arus karya komersial.

Tidak perlu fokus terhadap istilah ‘namron’ yang bermaksudkan air panas dalam bahasa Siam tersebut, kata Nam Ron konsep hiburan adakalanya disalah erti. Karya bukan sahaja untuk berhibur dengan gelak ketawa atau asyik maksyuk cinta tetapi penceritaan juga suatu bentuk hiburan. Filem yang ada gerakan emosi, sedih dan gembira pada tempatnya. Itu pun naskhah hiburan.

“Secara peribadi, hiburan sebegitu adalah terapi jiwa bukan melalaikan. Menonton sesebuah karya yang bercakap tentang kemarahan atau keluh resah hidup, tetapi apabila keluar panggung dengan rasa lega itu juga hiburan,” lontar Nam Ron mengkhususkan pendirian tersebut untuk filem terbaharunya, One Two Jaga yang akan ke panggung bermula 6 September nanti.

Bersekutu dengan Bront Palarae yang bertindak sebagai penerbit, biarpun bermajikan sahabat sendiri, ia bukan tugas mudah untuk menghasilkan karya yang telah menerbangkan namanya ke Udine, Itali, Shanghai China, dan New York, Amerika Syarikat membawa nama Malaysia ke peta perfileman antarabangsa.

“Kalau filem itu sebuah rumah, saya kontraktor yang buat rumah untuk Bront. Dia pastikan rumah yang dibina melengkapi kehendaknya. Tetapi dalam kes One Two Jaga, saya dan Bront saling mahu melengkapi apa yang kami mahukan. Bekerja dengannya, saya boleh gelarkan dia antara penerbit terbaik di Malaysia.

“Soal turun naik Bukit Aman untuk dapatkan keseimbangan cerita, itu kepandaian Bront. Dia juga harus melengkapi janji dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) untuk membawa nama Malaysia ke luar negara kerana geran Dana Pembangunan Seni Filem dan Multimedia yang digunakan untuk penggambaran filem berkenaan,” jelas Nam Ron.

Lebih mencabar, filem kepolisan yang berkisarkan isu rasuah dan pendatang asing tersebut harus diseimbangkan dengan imej jabatan penguatkuasa tersebut.Menurutnya, sebelum dapat ditonton pada 6 September nanti, naskhah berkenaan telah melalui proses yang panjang.

Bermula dengan hasrat untuk menzahirkan One Two Jaga sebagai filem blockbuster Asia, kami memulakan projek penggambaran untuk pra visual sebelum dipertandingkan pada Southeast Asian Film Financing (SAFF2015) di Singapura dan mendapat penajaan kamera untuk penggambaran.

“Selain susah untuk dapatkan dana bagi menampung geran Finas, kami berdepan banyak cabaran soal izin dari Bukit Aman, banyak perbincangan dibuat dan mujurlah Lembaga Penapisan Filem melepaskan One Two Jaga tanpa potongan kecuali ada beberapa dialog dipadamkan suara.

“Mujur skrip One Two Jaga tidak memburukkan institusi kepolisan, cuma fokus kepada individu yang salah guna kuasa. Macam selalu, niat saya berkarya pun bukan untuk memporak-perandakan atau ada agenda politik. Permainan itu yang menyelamatkan filem ini,” ujarnya



Lakonan

Melepaskan debar One Two Jaga untuk dihadam dan dinikmati penonton, Nam Ron diajak pula bercerita tentang sayap seninya yang mungkin semakin mahal selepas mengungguli trofi Pelakon Lelaki Terbaik baik FFM tahun lalu.

“Dalam lakonan pula, saya tidak pernah memilih tetapi beruntungnya, orang macam saya selalu dapat watak yang lain macam. Ada beberapa pelakon cakap, cemburu dengan saya sebab selalu dapat karakter begitu. Saya akan buat lawak. Saya kata, sebab orang macam kami tak best (tak lawa) sebab itu dapat watak best.

“Rupa-rupanya, kelemahan boleh menjadi satu kelebihan. Sebab ada pelakon wajah jambu mengadu asyik dapat watak romantis, sedangkan pelakon macam saya, macam Amerul Affendi juga contohnya, kami selalu watak yang berkarakter,” jelasnya bersulam tawa.

Mengekek dengan jenaka sendiri, aktor yang mempunyai deretan filem belum tayang seperti Mencari Rahmat, Paskal, Pontianak, Suatu Ketika dan Safari Mall itu merujuk perihal fizikalnya yang tidak bersandarkan rupa lawa atau badan berketak-ketak dengan otot yang mampu mempesonakan khalayak.

Ikut fahaman Nam Ron juga, jika sebagai pengarah pun, beliau lebih cenderung mengangkat pelakon yang tidak terlalu popular.

“Jika ambil pelakon yang terlalu popular, orang hanya fokuskan pelakon, cerita jadi terkebelakang.

“Saya pun bukan bermula dengan bagus. Dahulu, cikgu saya seniman Ahmad Yatim pernah cakap, engkau tak payah berlakonlah, engkau tak boleh berlakon. Tetapi itu dalam kelas, sebab itu saya lebih ke arah pengarahan.

“Tahun 2001 baru saya baru berani bereksperimental berlakon dalam teater sendiri iaitu Mat Derih Kuala Perlis. Itu pun selepas bekerja dengan pelakon-pelakon hebat, saya belajar daripada mereka,

“Macam kata mendiang Krishen Jit, jika mahu belajar lakonan kena jadi pengarah, sama juga kalau mahu jadi pengarah, kena tahu jadi pelakon. Kecuali bagi seseorang yang lahir dengan bakat semula jadi, saya tidak dilahirkan dengan bakat itu, jadi saya kena belajar,” tutup pemenang trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Drama) Anugerah Skrin 2012 menerusi Parit Jawa itu mengakui kelemahannya.

Bukan wajah jambu tetapi berkarakter. Itu kelebihan yang ada padanya. Pemakai nama pentas Nam Ron itu mengakui menyungguhi setiap kerja seni dengan hemat seorang pengkarya dan mahu memaknakan konsep hiburan ke jiwa penonton.

Post a Comment

Previous Post Next Post