Kurang menonjol Sissy Imann tekad ubah cara


Penyertaan dalam program Big Stage baru-baru ini dianggap percaturan terbaik pernah dilakukan oleh Sissy Iman. Setelah lima tahun dilihat malap dalam industri, ini adalah tempoh yang memberi banyak peluang kepada dirinya untuk tiba-tiba menyinar, terang benderang.

Sebagai penyanyi, komposer, penulis lirik dan individu yang banyak berkolaborasi dengan penyanyi lain, Sissy sepatutnya sudah lama menyinar. Tidak seharusnya dia menjadi begitu selesa duduk di belakang tabir atau bekerja di sebalik bayang.

Bercakap soal itu, Sissy mengakui yang sebelum ini dia kurang menonjol.

“Kononnya, biarlah hasil karya sahaja yang ke depan dan orang tertanya-tanya siapa Sissy Iman. Sebelum ini, saya terasa puas dengan cara itu. Tetapi sekarang baru sedar, saya kena ubah cara.

“Kalau mahu maju, kena beri peluang untuk diri dikenali, bakat sahaja tidak mencukupi. Big Stage adalah platform terbesar yang membuka segala ruang lain sehingga ramai beri kepercayaan pada saya,”katanya.

Tidak menyangka bahawa kelainan identiti sebagai anak seni yang dibawanya melalui program popular itu, dia diterima baik di kalangan pendengar. Sissy malah bersyukur kerana tidak perlu terikut-ikut ‘mencuri’ identiti orang lain.

Pernah diminta mengubah caranya atas alasan perlu mengikut ‘acuan’ selera majoriti pendengar, Sissy bangga kerana identitinya adalah apa yang didambakan oleh peminat muzik tanah air.



“Rupanya orang tak mahu melihat saya dibayangi mana-mana artis lain. Selama ini tertanya-tanya juga apa sebenarnya pendengar mahukan daripada saya sebagai seorang penyanyi dan pemuzik?

“Jawapannya sudah jelas. Kini langkah saya semakin yakin dan gembira bila ramai kalangan artis senior juga menyokong dan menasihati agar saya terus menjadi diri sendiri.

“Kata mereka, industri tidak perlukan seorang lagi Datuk Siti Nurhaliza atau Yuna misalnya. Dan saya mampu mencipta ruang tersendiri sebagai anak seni,”katanya.

Tersingkir pada minggu keempat dalam Big Stage, Sissy mengikut jejak penyanyi Fara Hazel, Andi Bernadee dan Tajul yang terlebih dahulu dikeluarkan daripada program siaran Astro Ria itu.

Sejak menyertai pertandingan itu, ramai mula membuka mata pada keunikan Sissy sebagai penyanyi namun ada juga yang mengkritik identitinya itu.

Post a Comment

Previous Post Next Post