Cinta Shahir Zawawi, Erra Fazira tidak terbeban


Diam tak diam, rupanya sudah empat tahun tempoh yang indah itu berlangsung. Empat tahun menyulam cinta, ia bukan satu tempoh masa yang singkat pada dasarnya. Dalam tempoh berkenaan pelbagai dugaan dan rintangan telah dilalui oleh Shahir Zawawi dan Erra Fazira dalam mempertahankan hubungan cinta sehingga ke hari ini.

Apa lagi yang mereka tidak lalui bersama walaupun ada yang beranggapan cinta mereka sampai bila pun, tidak akan ke mana-mana.

Menepis awal-awal tanggapan tersebut, Shahir tertanya serius mahu menjadikan wanita tersebut sebagai suri dalam hidupnya. Semakin terbuka berbicara mengenai kisah cintanya, Shahir mendedahkan yang cinta merupakan fitrah manusia yang tidak dapat dielakkan.

Sebagai lelaki, dia juga perlu berhadapan dengan realiti di mana orang ingin tahu satu perkara ke satu perkara lain meskipun ia sulit untuk dibicarakan.

“Ya, begitulah. Selama empat tahun ini, pada awalnya saya tidaklah berniat menyorokkan kisah cinta kami. Sebaliknya, saya hanya segan untuk bercerita perkara ini secara terbuka. Tetapi bila hubungan tersebut berlangsung setahun demi setahun, saya semakin tenang menghadapinya.

“Sebab itu sekarang saya boleh menjawab pertanyaan semua cinta kami apabila ditanya. Cuma jangan ditanya tentang tarikh memandangkan perkara tersebut belum bincangkan antara dua keluarga,” jelasnya.



Tidak pernah dia terbeban dengan seribu satu pertanyaan yang dilemparkan bukan sahaja daripada pihak media sebaliknya daripada orang sekeliling, termasuk keluarga. Hal yang sama turut berlaku kepada ibunya yang berada di Perak apabila kebanyakan saudara mara dan kenalan yang sering bertanyakan soalan yang sama berulang-ulang kali.

“Saya tidak terbeban untuk menjawab pertanyaan sesiapa sahaja tetapi saya tahu anda yang akan terbeban dengan jawapan yang diterima. Sebab hal ini (perkahwinan) bukanlah satu yang mudah untuk ceritakan secara umum.

“Kalau perbincangan sudah dibuat, ada keputusan sudah tetapkan insya-Allah saya akan beritahu semua,” kata penyanyi yang popular dengan lagu Dia Yang Kau Pilih ini lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post