Filem ini bukan berat sebelah, tiada isu sensitif


Pelakon, Mira Filzah berkata filem RISE Ini Kalilah mempunyai suntikan patriotik kepada penonton.

Jelasnya yang juga merupakan seorang pengacara, jalan cerita filem ini bukan sekadar wayang, namun ia sebenarnya dekat dengan masyarakat di luar.

"Bagi saya filem ini mempunyai kekuatan dari segi penyampaian mesej berdasarkan peristiwa yang telah berlaku baru-baru ini.

"Setiap orang daripada kita ada matlamatnya dan generasi saya pada hari ini lebih berani bersuara dengan adanya media sosial.

"Jadi saksikanlah pengajaran yang terdapat dalam filem ini," jelas Mira kepada Sinar Harian ketika ditemui di majlis perasmian Filem RISE Ini Kalilah di One Utama, Damansara Utama, semalam.




Pelakon, Mira Filzah

Ditanya mengenai tawaran kali pertama membintangi filem genre seperti ini, katanya ia berlainan daripada watak yang pernah dibawanya dalam drama atau telefilem sebelum ini.

"Dalam filem ini saya berlakon sebagai pelajar universiti di luar negara dan membantu pelajar Malaysia untuk membawa pulang sampul undi pos.

"Secara peribadinya ia bukan memberikan saya cabaran tetapi lebih kepada pengalaman berdasarkan kehidupan realiti seorang pelajar yang mahu sampul undi pos mereka sampai ke tanah air.

"Malah filem ini bukannya berat sebelah dan tiada isu-isu sensitif," ujarnya mahu pelbagaikan watak dalam bidang lakonan.

Filem terbitan WebTVAsia dan arahan daripada tiga pengarah, Nik Amir Mustapha, Saw Teong Hin, dan Prem Nath, diinspirasikan daripada kejayaan rakyat sewaktu Pilihan Raya Umum ke-14 yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 13 September ini.

Selain Mira yang memegang watak utama sebagai Fizah, antara barisan pelakon lain terdiri daripada Remy Ishak, Yana Samsudin, Sangeeta Krishnasamy, Mark O'dea, Mustaqim Bahadon, Sharifah Sakinah dan ramai lagi.


Post a Comment

Previous Post Next Post