Fattah Amin Saya sangat berharap dia ada di sisi


Pelakon popular, Fattah Amin menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-28 pada 14 September lalu, telah meluahkan perasaannya yang terpaksa 'bersendirian' tanpa isteri tercinta di sisi.

Bagaimanapun menerusi perkongsian di akaun Instagram miliknya, pelakon Hero Seorang Cinderella ini turut berkongsi rasa terharu dengan 'surprise' yang dirancang oleh isterinya, Fazura.

"Saya akui di sebalik ucapan yang dia (Fazura) berikan terhadap saya di media sosial, saya sangat berharap dia ada disisi saya sekarang.

"Walaupun malam 'birthday' saya sambut bawah pokok, namun 'surprise' yang dia rancang telah berjaya, saya berasa sangat terharu kerana dia sempat mengatur semua itu walaupun sedang sibuk dengan jadual kerja yang padat di New York," tulisnya.

Malah Fattah secara berseloroh telah bertanya, bagaimana caranya untuk membalas kejutan hari lahir Fazura yang jatuh pada 27 September depan.

Dalam pada itu, Fazura menerusi satu entri romantis yang dimuat naik di akaun Instagramnya memberitahu tarikh 14 September merupakan tarikh yang memberi dua makna berbeza dalam hidupnya.

Menurut Fazura, pada tarikh berkenaan merupakan hari pemergian bapanya dalam masa yang sama ia juga merupakan tarikh lahir suami tercinta.




“Saya kehilangan bapa tersayang pada 14 September, 18 tahun lalu dan pada tarikh yang sama ALLAH hantarkan dia (Fattah) kedunia. Dialah yang menerangi hidup saya dan dia juga telah mencuri hati saya buat selamanya.

“Dia dihantar untuk menjaga dan melindungi saya serta menyayangi saya sepenuh hatinya. Saya tak boleh luahkan bagaimana rasa syukur saya memilikinya.

“Terima kasih kerana menyayangi saya dan terima kasih kerana menjadi diri awak sebenarnya.

“Saya sayangkan awak sepenuh hati saya. Selamat hari lahir suami ku,” katanya.

Fazura kini berada di New York, Amerika Syarikat untuk New York Fashion Week.



Post a Comment

Previous Post Next Post