Da’i Adam dinobatkan juara Da’i Pendakwah Nusantara musim keenam sekali gus menewaskan tiga lagi finalis lain.
Selepas 10 minggu bertanding, tuah ternyata berpihak kepada Da’i Adam apabila dinobatkan juara Da’i Pendakwah Nusantara musim keenam sekali gus menewaskan tiga lagi finalis lain.
Kemenangan tersebut melayakkan Adam atau nama penuhnya Muhammad Adam Muhibbullah Abdullah membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM60,000, dua tiket umrah tajaan Almas Beauty & Health Sdn. Bhd. berserta sebuah trofi.
Adam yang merupakan seorang mualaf berusia 26 tahun itu menyampaikan persembahan menerusi pusingan pertama dengan tajuk dakwah Bangkit Anak Muda dan Saya Mualaf pada pusingan kedua.
Sementara itu, Da’i Imran yang membawakan persembahan berjudul Agihan Zakat dan 26 Hari Tanpa Peperangan diumumkan sebagai pemenang tempat kedua membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000, satu tiket umrah tajaan Almas Beauty & Health Sdn.Bhd. berserta sebuah trofi.
Da’i Haziq yang mempertaruhkan persembahan berjudul Haiwan Berhak Hidup dan Intelektual & Ulama’ pula terpaksa berpuas hati di tempat ketiga sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM10,000 dan RM2,000 serta produk Almas tajaan Almas Beauty & Health Sdn. Bhd.