Gambar Zul Ariffin yang dimuat naik dalam Instagram oleh seorang model Ukraine.
Pelakon Zul Ariffin menidakkan khabar angin yang bertebaran sejak semalam bahawa dia kini sedang menjalin hubungan cinta dengan seorang model dari negara Ukraine selepas tersebarnya gambar percutian mereka sejak semalam.
Jelas pelakon berusia 32 tahun itu, hubungannya dengan wanita tersebut tidak lebih daripada sekadar rakan dan keberadaannya di Phuket tempoh hari adalah untuk menjalani latihan Muay Thai bagi filem terbaharunya.
"Tak adalah. Mana ada. Saya bercuti ke sana untuk menjalani latihan. Maaf saya tiada komen untuk perkara ini," ujarnya ringkas ketika ditemui pada malam gala filem Hantu Kak Limah di eCurve, Mutiara Damansara, semalam.
Bagaimanapun, Zul enggan mengulas lanjut identiti sebenar wanita berkenaan.
"Sudah tentu saya kenal dia dan kami di sana berlatih bersama-sama. Saya layan dia sama sahaja seperti orang lain.
"Cuma saya tiada komen lanjut untuk itu. Sebab kalau saya cakap baik atau buruk, ia tidak akan membezakan apa-apa pun. Jadi, lebih baik saya tutup mulut dan biarkan orang berkata apa sahaja kerana mereka tidak tahu perkara sebenar," jelasnya.
Sementara itu, menjawab tindakan wanita tersebut mencacah nama tertera perkataan 'Zul' pada jari manisnya, jawab Zul: "Itu bukan tatu, tapi inai sahaja. Saya pun tidak sangka dia akan buat begitu".
Terdahulu, perkara berkenaan menjadi buah mulut netizen apabila beberapa keping gambar pelakon filem Tombiruo: Penunggu Rimba dan wanita tersebut diambil di lokasi dan pada tempoh masa yang sama tersebar.
Antara yang dikesan dalam gambar kedua-duanya adalah latar belakang sebuah bilik tidur dan di tepi sebuah kolam yang sama.
Malah, lebih menguatkan spekulasi adalah tindakan wanita tersebut berkongsi sebuah gambar sedang memeluk seorang lelaki yang dipercayai adalah Zul.