Pelakon, Ben Amir mengakui aktres cantik, Uqasha adalah wanita paling rapat dengannya buat masa ini.
Malah mereka sebenarnya sudah mula berkenalan sekitar tahun 2014.
Jelas Ben Amir atau nama penuhnya Muhammad Amir bin Sabaruddin, berkata, dia mula rapat sejak digandingan dengan Nelydia Senrose menerusi drama Cinta Tiada Ganti.
"Kami sebenarnya dah lama kenal sejak empat tahun lalu.
"Bila saya berlakon dengan Nely barulah berjumpa semula. Sebab ada masanya Uqasha datang ambil Nely di lokasi.
"Sejauh mana perhubungan kami saya tak berani nak cakap tapi dia memang wanita yang sangat rapat dengan saya buat masa ini.
"Kami pun ada keserasian bila bersama, boleh sembang sambil gelak ketawa," ujarnya kepada Sinar Harian.
Terus ditanya mengenai hubungan mereka, bagaimanapun finalis Hero Remaja 2011/2012 meletakkan soal jodoh pada ketentuan takdir.
"Kalau orang mendoakan yang baik-baik maka itu yang terbaiklah.
"Begitu pun, soal jodoh ini semua ketentuan-Nya, tak boleh nak paksa.
"Soal nak bawa jumpa keluarga biarlah masa menentukan dan saya sendiri tak mahu gopoh," katanya ketika ditemui pada malam gala filem Hantu Kak Limah, semalam.
Pelakon berusia 28 tahun ini juga berkata, keluarganya tidak meletakkan sebarang syarat malah memberikan dorongan positif.
"Kata keluarga kalau dah suka sama suka teruskan sahajalah," katanya ringkas.
Mengulas dakwaan netizen mengatakan aktor ini rapat dengan Uqasha kerana mahu menumpang populariti, dia akur itu hanya pandangan mereka.
"Saya berkawan dengan dia ikhlas dan tidak ada sebarang agenda tersembunyi.
"Kalau dah itu pendapat netizen saya tak ada hak nak halang," katanya jujur.