Ketika Faizal Ismail membuat keputusan meletak jawatan sebagai penyampai radio Hot FM sekitar lima tahun lalu, dalam fikirannya dia hanya mahu menjalankan perniagaan keluarga yang mengeluarkan produk makanan sejuk beku bawah jenama FBI.
Faizal atau FBI sama sekali tidak menyangka akan kembali bergandingan dengan bekas rakan setugas, Fara Fauzana sejak lima bulan lalu.
Fara juga telah meletak jawatan sebagai penyampai radio berkenaan pada tahun 2016.
Bezanya kali ini, mereka tidak bersiaran dari konti radio mahupun televisyen tetapi menerusi platform digital yang disiarkan secara langsung di Facebook, Instagram dan YouTube.
Bergandingan dalam segmen Fafau & FBI Live yang disiarkan dalam hab kandungan digital dbilique, jelas FBI, segala-galanya bermula apabila aplikasi Live mula diperkenalkan di Facebook sekitar tahun 2016. Baginya, ia satu platform percuma terbaik untuk mempromosikan produk keluarannya.
“Semuanya bermula sebab saya mahu promosikan produk daging dendeng kepada pelanggan. Ia bermula pada Julai 2017 di rumah saya di Rawang, Selangor dengan menggunakan nama FBI Live.
“Waktu itu, saya sekadar suka-suka sambil promosi produk jualan dan sememangnya ia langsung tidak formal. Ketika bersiaran anak-anak siap lalu-lalang di belakang (ketawa).
“Lama-kelamaan, ada tetamu seperti penyanyi rock dibawa masuk ke konti digital saya. Apabila Fara turut diundang sebagai jemputan dalam FBI Live, penonton beri respons luar biasa kerana mereka rindu melihat gandingan kami.
“Melihat respons tersebut, ditambah dengan peniaga lain yang turut berminat mempromosikan produk mereka dalam program tersebut, saya sedar kami boleh lakukan sesuatu yang lebih besar,” kongsi FBI memulakan bicara.
Mengambil serius terhadap peluang perniagaan yang luas dalam dunia digital, FBI, Fara dan Kartini bergabung menubuhkan sebuah syarikat yang diberi nama Digital Kita Sdn. Bhd. pada awal tahun ini.
Langkah permulaan adalah melakukan proses penjenamaan semula FBI Live dalam dbilique. Kini, siaran langsung dilakukan sepenuhnya secara formal di ‘rumah’ digital mereka yang terletak di Damansara, Selangor.
Persoalannya, adakah FBI kini beralih sepenuhnya ke dunia digital demi meneruskan kelangsungan hidup selepas bersara dari konti radio sebenar? Sambil menghela nafas panjang, FBI menegaskan, keputusan untuk bersiaran secara langsung adalah demi minat.
“Soal kelangsungan hidup semua itu ditolak ke belakang kerana saya selalu buat apa yang diminati dan mampu lakukan dengan baik. Kebetulan pula, sepanjang buat perkara yang diminati itu, rezeki dan peluang lain datang secara tiba-tiba apabila ada pihak mula minta buat iklan.
“Jujurnya, saya tidak boleh lakukan hal ini secara sendirian. Sebab itu Fara dan Kartini bersama saya. Kartini sertai kami sebagai pihak pengurusan dan pemasaran, manakala saya dan Fara adalah wajah dbilique.
“Perancangan jangka panjang kami pada masa depan adalah menghasilkan program kembara, mempunyai tenaga produksi sendiri dan mungkin terbitkan filem,” ujar FBI yang telah menolak lima tawaran untuk kembali sebagai penyampai radio di stesen radio berbeza.
Bebas
Berbicara mengenai peralihan daripada media komersial ke digital, FBI mengakui terdapat cabaran yang harus dilalui. Namun, bersiaran secara digital dan tidak terikat dengan mana-mana bumbung media memberi kebebasan kepada FBI dan Fara untuk mencorakkan segmen mereka.
Lebih santai, mereka boleh mengupas sebarang topik dan mengundang sesiapa sahaja sebagai tetamu undangan tanpa sebarang sekatan. Sungguhpun begitu, berdasarkan pengalaman sebagai penyampai radio, mereka tahu sejauh mana tahap kebebasan yang boleh dilakukan dalam segmen-segmen yang bersiaran dalam dbilique.
“Berdasarkan pengalaman sebagai penyampai radio selama 15 tahun, saya tahu tahap sensitiviti yang perlu dijaga. Biarpun dbilique merupakan sebuah media bebas tetapi saya sedar masih ada batasan.
“Cuma sebagai pemilik hab kandungan digital, kami bebas mencorakkan hala tuju setiap segmen mengikut acuan sendiri.
“Itu keseronokan yang mungkin saya tidak akan dapat ketika bertugas di radio,” kata Fara yang juga pernah empat kali ditawarkan untuk kembali ke radio.
Meskipun begitu, Fara mengakui terdapat perbezaan ketara ketika bersiaran dikonti stesen radio dan secara digital. Jika dahulu, tugasnya hanyalah sebagai penyampai radio, kini selain bersiaran sebagai pengacara, Fara juga harus memikirkan topik dan aspek teknikal.
“Media digital boleh diakses di mana-mana sahaja tanpa had. Bersama pasukan kecil atau seorang diri pun saya boleh bersiaran secara langsung di mana sahaja asalkan ada internet. Dahulu seramai 20 orang diperlukan untuk bersiaran secara langsung di luar konti radio kerana kapasiti radio yang besar dan komersial.
“Segmen dalam dbilique pula lebih bersifat peribadi kerana konsep kami di rumah dengan baju kelawar dan kain pelekat. Cuma cabaran lebih besar kerana semua harus difikirkan sendiri.
“Semasa di stesen radio, semuanya telah disediakan, kami hanya bercakap. Berbeza tetapi itulah cabaran untuk kami lakukan sesuatu yang baharu dan pergi lebih jauh,” tutur Fara.
Tambah wanita berusia 38 tahun itu, selain di rumah digital, mereka juga pernah bersiaran secara langsung dari beberapa buah negara, antaranya Jepun, Syria, Malawi dan akan datang di Lebanon pada sambutan Aidiladha. Ia sempena misi kemanusiaan Fara yang bertindak sebagai duta Malaysia Life Line For Syria.
Misi
Menyentuh tentang perancangan masa depan, Fara dan FBI mengakui tidak mahu selamanya berada di depan kamera. Sampai masanya, mereka hanya akan bertindak sebagai pemilik sebuah rumah produksi dan hab kandungan digital.
Oleh itu, usaha mencari pelapis baharu turut dilakukan bagi menggantikan tempat mereka pada masa depan. Selain peningkatan usia, mereka juga mahu mencabar diri melakukan sesuatu berbeza dan jauh lebih besar daripada apa yang pernah dilakukan sebelum ini.
“Misi kami adalah mahu mencari ‘Fara dan FBI’ yang seterusnya. Maknanya mencari pelapis yang mempunyai bakat seperti kami atau jauh lebih hebat. Kami sedar tidak akan selamanya akan berada di depan kamera.
“Buat permulaan kami perlu menjadi wajah dbilique untuk memperkenalkan ia kepada umum. Selepas menemui bakat-bakat yang sesuai, kami akan mengundur diri dan menjalankan tugas sebagai pemilik perniagaan sahaja,” kata Fara.
Usaha untuk mencari pelapis Fara dan FBI telah dimulakan dengan mengadakan sesi jelajah di seluruh Malaysia. Buat mereka yang berminat untuk bergelar pengacara seperti dua selebrtiti itu, maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web www.dbilique.com dan Instagram @dblilique.
“Sebab itu dalam dbilique selain kami berdua, turut mempunyai segmen masing-masing adalah Faiz Dickie, Ustaz Aiz dan Faiz Haiqal. Kami sedar dunia digital untuk orang muda. Jadi, kami perlu mempunyai wajah-wajah yang muda dan popular dalam kalangan belia di laman sosial untuk bersama dbilique.
“Seperti Faiz Haikal, dia bermula sebagai pelajar praktikal bersama kami. Namun melihat potensinya, kami memberinya peluang untuk mempunyai segmen sendiri dalam dbilique. Pelapis itu perlu dicari dalam apa jua bidang termasuklah pengacaraan supaya bidang tersebut lebih berkembang,” kongsi Fara.
Perkara tersebut turut diakui oleh FBI. Akuinya, dia enggan bergelar penyampai radio sehingga tua. Oleh itu, dia nekad bersara ketika nama sedang di puncak populariti.
“Sebagai individu saya percaya kita perlu mencabar diri untuk berkembang, tidak boleh berada pada tahap yang sama sahaja. Tidak mungkin saya mahu jadi penyampai radio sampai tua. Hidup adalah pilihan dan pilihan itu di tangan kita sendiri,” luah FBI mengakhiri bicara.
Peminat kini boleh menyaksikan segmen-segmen siaran dbilique setiap Isnin sehingga Jumaat bermula pukul 4 petang dengan melayari Facebook dan Instagram @dbilique. Selain itu, ia juga boleh ditonton menerusi YouTube (dblique.tv) dan laman web www.dbilique.com.