Biarpun kerjanya kini berpangkalan di Indonesia, namun Baby Shima tetap memberi fokus terhadap peminat Malaysia dengan menyertai program Big Stage terbitan Astro.
Insiden dimarahi oleh penyanyi popular, Mas Idayu sewaktu menyertai program D’Academy Asia musim ketiga di Indonesia pada tahun lalu menjadikan nama Baby Shima semakin dikenali.
Baby Shima atau nama sebenarnya, Nor Ashima Ramli menerima percikan populariti persis artis baharu, walhal dia telah lama bertapak dalam industri tempatan sejak 2012.
Bukan sahaja melonjakkan namanya, malah program tersebut turut memberi peluang kepada Baby Shima untuk mengembangkan kerjaya nyanyian, sekali gus berpangkalan di negara republik tersebut.
Disebabkan itu, Baby Shima sering berulang-alik antara Indonesia dan Malaysia demi memenuhi tuntutan kerja. Meskipun lelah, penyanyi berusia 25 tahun itu tidak menjadikan perkara tersebut halangan untuk terus bekerja keras.
Dalam pada kepadatan jadual seni, Baby Shima tetap mencuri peluang bagi menyertai program nyanyian Big Stage bersama sembilan peserta lain.
Terdiri daripada barisan penyanyi muda popular tanah air, program yang bersiaran menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD pada setiap Ahad pukul 9 malam bermula 5 Ogos nanti tersebut diadili juri profesional iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir.
Hotels & Flights Murah Dari Traveloka
KOSMO: Sebelum ini, Baby Shima telah menyertai sebuah program realiti nyanyian di Indonesia, mengapa kali ini anda sekali lagi melakukan perkara sama dengan terlibat dalam rancangan televisyen iaitu Big Stage?
BABY SHIMA: Tujuan utama saya menyertai program tersebut bukan kerana ingin mengejar populariti tetapi mencari peluang memperbaiki diri.
Biarpun kedua-duanya merupakan pertandingan nyanyian tetapi setiap satu daripadanya tetap mempunyai perbezaan.
Selagi ada peluang, saya ingin mencuba kerana kita tidak mampu menjangka rezeki yang akan tiba nanti.
Apabila menyertai program tersebut, bagaimanakah kerjaya anda di Indonesia?
Kerjaya nyanyian berjalan seperti biasa tidak mengira sama ada Indonesia mahupun Malaysia.
Biarpun kini saya lebih fokus di Indonesia kerana berpangkalan di sana tetapi undangan di tanah air sendiri tetap tidak dilupakan.
Oleh sebab itu, saya tidak kisah sekiranya terpaksa berulang-alik antara kedua-dua negara kerana segalanya dilakukan demi minat dalam bidang muzik dan kerjaya.
Disebabkan insiden dimarahi oleh Mas Idayu, tidakkah anda berpendapat seperti dipergunakan pihak penerbitan demi raih rating yang tinggi?
Saya tidak melihat isu tersebut sebagai satu perkara yang mampu menjadi satu tarikan untuk meraih rating mahupun kenyataan dipergunakan. Setiap peserta yang menyertai program tersebut perlu menghadiri sesi uji bakat.
Syukur, saya antara peserta yang terpilih. Sejujurnya, sukar untuk saya menyertai program tersebut kerana jadual kerjaya yang padat. Atas kesungguhan, saya tetap menyertai program tersebut biarpun berdepan dengan aktiviti seni yang padat.
Memandangkan anda mempunyai pengalaman ngeri dikritik oleh Mas Idayu, tidakkah anda takut berdepan kritikan daripada dua juri seperti Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir dalam program tersebut nanti?
Kritikan itu membuatkan kita berpeluang untuk memperbaiki diri. Biarpun agak perit tetapi ia membina.
Hubungan saya antara Mas Idayu juga tiada masalah. Mengenai juri dalam Big Stage nanti, secara luaran kedua-duanya tampak lembut dan tidak garang.
Tetapi, saya tidak tahu apa akan jadi pada masa akan datang. Justeru, saya bersedia dengan segala kemungkinan untuk menerima kritikan daripada mereka.
Selain kritikan saya juga bimbang sekiranya berlaku kesilapan seperti terlupa lirik kerana ia melibatkan program yang bersiaran secara langsung.
Sudah adat program realiti, setiap peserta pasti tidak dapat lari daripada berdepan dengan kontroversi. Bagaimanakah pandangan anda mengenai tradisi sebegitu?
Saya menyerahkan segalanya kepada takdir. Malah, ketika mula menceburi dunia hiburan juga saya telah mempersiapkan diri untuk berdepan dengan kontroversi.
Tambahan, ia juga menjadi lumrah menjadi selebriti apabila kisah peribadi lebih mendapat perhatian. Bagaimanapun, saya agak kurang selesa berkongsi kisah peribadi kepada umum.