
Memiliki pesona menarik dan ketinggian tahap kecerdasan intelektual (IQ) ditambah pula dengan perwatakan yang lemah lembut, pasti mudah untuk menambat hati sesiapapun.
Petah menyusun kata selain bibir tidak lekang mengukir senyuman, pemilik nama lengkap Naseha Uyaina Arshad senang berkongsi pengalaman saat menyandang gelaran juara pertandingan Puteri Muslimah Asia 2018 (PMA2018).
Acara yang julung-julung kali diadakan tersebut berlangsung di Jakarta, Indonesia dengan menyaksikan penyertaan beberapa buah negara seperti Malaysia, Singapura, Brunei, Turki, Timor Leste dan Indonesia.
Ditebak tentang perasaannya memenangi pertandingan yang berlangsung sekitar awal Mei lalu, wanita yang dikenali sebagai Uyaina Arshad itu dengan pantas mengatakan, langsung tidak menduga beroleh kemenangan tersebut.
Kedengaran seperti satu ungkapan klise, tetapi Uyaina bersungguh-sungguh menegaskan, calon lain turut mempunyai kehebatan masing-masing. Ternyata, dia sendiri berasa kecil berada dalam lingkungan peserta lain terutama wakil Indonesia yang merupakan tuan rumah.
Menyedari akan saingan sengit antara satu sama lain, Uyaina pada awalnya gentar untuk meletakkan harapan tinggi. Baginya, peluang menyertai program tersebut sudah cukup untuk menimba pengalaman baharu di negara orang.
Biarpun tidak meletak harapan untuk membawa pulang mahkota gelaran juara, Uyaina tetap berusaha sebaik mungkin sepanjang tempoh dua minggu acara tersebut berlangsung.
Ternyata, tuah berpihak kepadanya dan kini Uyaina sering dipanggil dengan panggilan puteri terutamanya peminat dari Indonesia sebaik sahaja memenangi PMA2018.
“Kadangkala panggilan tersebut membuatkan saya berasa kekok kerana ia bukan sesuatu yang biasa berlaku sebelum ini. Bukan sahaja mengundang perasaan canggung, bahkan panggilan itu juga dirasakan mempunyai tanggungjawab yang berat.
“Kemenangan PMA2018 juga secara tidak langsung membuka lembaran baharu dalam kerjaya saya di Indonesia. Sebaik sahaja memenangi acara tersebut, saya banyak menerima tawaran pengacaraan dan berlakon bukan sahaja di Indonesia, malah turut berlaku di Malaysia,” katanya tersenyum.
Ambil peluang
Peluang tersebut lantas digunakan semaksimum mungkin oleh bekas juara Nona Manis 2015 itu demi melebarkan sayap ke negara seberang, sekali gus menceburkan diri dalam bidang lakonan.
Mengakui bukan mudah untuk menyempurnakan segala rencana, wanita berusia 25 tahun itu tidak menjadikan kepadatan jadual kerja membataskan dirinya daripada mencuba cabang kerjaya baharu berkenaan.
Pengalaman mengendalikan program Nona dan Wanita Hari Ini di TV3 secara tidak langsung membantu Uyaina meneruskan kerjaya dalam bidang pengacaraan di Indonesia.
Usai PMA2018 melabuhkan tirai, Uyaina diberi kepercayaan untuk mengendalikan rancangan televisyen berkonsepkan islamik, Akademi Sahur Indonesia (Aksi Asia 2018) di Indonesia pada Ramadan lalu.
Program tersebut memperuntukkan Uyaina bersedia seawal pukul 12 tengah malam sebelum bersiaran secara langsung pada pukul 2 hingga 5 pagi.
“Secara peribadi saya tidak menyangka kemenangan PMA2018 menjadi permulaan mengembangkan bakat di rantau orang. Sepanjang mengacara Aksi Asia 2018, saya bergandingan dengan empat pengacara lelaki membicarakan soal agama apatah lagi kerana dalam bersiaran pada bulan Ramadan.
“Sewaktu diminta menyampaikan tazkirah, saya gementar ketika melakukannya. Sebagai individu biasa yang bukan pendakwah, saya rasa tugas itu berat,” tutur Uyaina lembut seraya tersenyum.
Jadi diri sendiri
Mengendalikan program keagamaan secara tidak langsung membuatkan Uyaina harus tampil sempurna berlandaskan syariah Islam. Apatah lagi, dia kini membawa gelaran Puteri Muslimah yang pastinya memperuntukkan Uyaina untuk sentiasa menjaga tingkah laku agar bersesuaian dengan imej wanita bertudung.
Uyaina mengakui sebagai manusia biasa, dia juga tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan.
Tujuannya asalnya untuk menyertai pertandingan PMA2018 sekadar ingin mencuba nasib dan menimba pengalaman baharu, sementelah tidak terikat dengan mana-mana stesen televisyen.
“Meskipun memenangi PMA2018, saya masih individu sama seperti sebelum menyertai pertandingan tersebut. Masih kekal dengan personaliti dan penampilan serupa, saya mengharapkan khalayak menerima imej ini seadanya.
“Saya tetap tahu menjaga diri terutamanya batas pergaulan antara wanita dan lelaki. Pada pandangan saya, mengapa perlu berasa tertekan mahupun taksub dengan kritikan masyarakat. Saya memilih untuk menjadi diri sendiri dan pada masa sama, berusaha memperbaiki kekurangan agar menjadi lebih baik,” terang Uyaina panjang lebar.
Tampak optimis dan tegas terhadap pandangannya, Uyaina mengetahui soal batas pergaulan dan tingkah laku.
Bukan sekadar perbuatan, bahkan wanita kelahiran Kuala Kangsar, Perak itu turut berhati-hati dalam menyusun kata, tidak mengira sama ada sedang mengendalikan rancangan televisyen mahupun di media sosial.
Tahu batas
Segalanya perlu diperhitungkan agar tidak menyinggung mana-mana pihak mahupun menjadikan dirinya sebagai sasaran kritikan.
Tambahan pula, dia kini mula berjinak-jinak dalam bidang lakonan. Bakal membuat penampilan sulung menerusi drama rantaian Lelaki Kiriman Tuhan, Uyaina mengharapkan naskhah tersebut membuka dimensi baharu dalam kariernya.
Dia juga berbangga dengan keterbukaan dan penerimaan peminat terhadap adegan romantik tanpa bersentuhan dalam sesebuah naskhah tempatan.
“Pada saya, kemahuan untuk tidak perlu melakukan babak bersentuhan perlukan perbincangan dan ia boleh dibuat. Penonton sekarang juga lebih bersifat terbuka,” ujarnya.
Pada masa sama, Uyaina turut memberitahu, ibunya, Siti Noor Farah Al-Wafa sentiasa menjadi individu yang menitikberatkan soal batas pergaulan dirinya dengan lelaki agar tidak menyimpang mahupun melampaui batas.
Hal itu lantas membuatkan anak bongsu daripada empat beradik itu lebih prihatin dan punya rasa tanggungjawab menjaga maruah keluarga biarpun mengharungi lembah industri hiburan tanah air yang penuh berliku dugaan.