Pelakon Uqasha Senrose mengakui begitu gementar apabila diberi peluang bekerja di bawah pengarahan sutradara terkenal, Mamat Khalid.
Menerusi filem Hantu Kak Limah itu, selebriti berusia 26 tahun ini membawakan watak puteri bunian bernama Eton yang bercinta dengan Hussin lakonan Datuk Awie.
Menurut Uqasha, dia hampir terlepas tawaran tersebut setelah pihaknya tidak menerima apa-apa pesanan, biarpun Penerbit Eksekutif dari Infinitus Gold Gayatri Su-lin Pillai sudah cuba mencarinya selama dua bulan.
"Cik Gayatri beritahu dia sudah tinggalkan pesanan pada pengurus saya, tapi pengurus saya kata tidak ada menerima dan saya pun memang tak tahu apa-apa.
"Beliau kemudiannya cuba menghantar Direct Message di Instagram dan akhirnya dapat bercakap dengan saya. Beliau kata sudah dua bulan mencari saya dan hampir mahu melepaskan watak tersebut kepada orang lain.
"Ketika hari pertama berada di set penggambaran, saya memang gementar juga. Tapi abang Mamat sudah jelaskan apa yang dia mahu dan saya hanya lakonkan mengikut apa yang abang Mamat dan Cik Gayatri gambarkan," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Bercerita lanjut mengenai wataknya, Uqasha berkata, membawakan watak sebagai puteri bunian agak mencabar kerana dia tidak mempunyai rujukan dan hanya bergantung pada penerangan dan imaginasi Mamat serta Gayatri.
Tambahnya, lokasi penggambaran filem itu juga sebenarnya berhampiran dengan perkampungan bunian dan krew produksi ada menegur tentang penampilannya yang berbeza ketika penggambaran berlangsung.
"Abang Mamat dan Cik Gayatri beritahu mereka mahu saya bawakan watak seorang puteri bunian yang elegan dan perlu memakai kasut tinggi di dalam hutan. Memang agak mencabar sehingga saya sendiri beberapa kali hampir terjatuh kerana kawasan yang tidak rata.
"Ketika penggambaran juga Alhamdulillah tidak ada apa-apa gangguan walaupun penggambaran berlangsung berhampiran perkampungan sebenar bunian mengikut kata krew.
"Cuma krew ada menegur wajah saya nampak berbeza ketika di set tapi saya tak fikir apa-apa sebab saya tak rasa apa-apa perbezaan," jelasnya.
Ditanya pengalaman berlakon bersama hero yang pernah hit suatu ketika dahulu, kakak kepada Nelydia Senrose ini mengakui agak malu-malu apabila diminta untuk melakukan babak romantis dan manja bersama Awie.
Bagaimanapun ujarnya, vokalis kumpulan Wings itu sangat membantu untuk membuatkan dia lebih tenang di lokasi.
"Walaupun dia antara aktor terkenal dan hebat, tapi dia tidak ada masalah untuk mengikut apa yang pengarah mahukan.
"Dia juga buat saya rasa lebih releks walaupun sebenarnya saya malu untuk menjayakan babak romantis pada mulanya," katanya yang bakal membintangi dua drama iaitu Biar Jadi Kaktus bersama Aliff Aziz untuk RTM dan Isteri Untuk Disewa untuk saluran Astro Ria bersama Fattah Amin.