Tony Eusoff tidak digam, jual sosej


Sudah berusia 40 tahun, Tony Eusoff masih belum mempunyai calon isteri.

Pernah bergelut dengan kontroversi dipenjarakan atas kesalahan memiliki dadah di Singapura dua tahun lalu, pelakon Tony Eusoff reda tidak digam oleh stesen televisyen serta syarikat produksi, namun dia terkejut apabila perkara sebaliknya berlaku.

Kata Tony atau nama sebenarnya, Anthony Joseph Anak Hermas Rajiman, 40, dia lega walaupun kontroversi berkenaan sedikit sebanyak memberi persepsi negatif terhadap dirinya, dia tetap mendapat sokongan daripada orang ramai untuk meneruskan kehidupan.

Pun begitu, pernah juga dia berfikiran kerjaya seninya sudah hancur disebabkan kontroversi terbabit. Ujar Tony yang ditemui pada sidang akhbar drama atas talian Projek Dapat Baby baru-baru ini, dia bersyukur kerana apa yang sudah berlaku memberi pengajaran buat dirinya.

Tony sebelum ini dihadapkan ke mahkamah pada 31 Mac 2016 dan didakwa memiliki dadah terkawal Kelas A di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah di Singapura.

Laporan berita menyebut dirinya dipercayai memiliki satu peket mengandungi tidak kurang daripada 4.56 gram bahan sayuran yang telah dianalisis dan didapati mengandungi kesan ganja.

Mengulas sedikit tentang hal peribadi, Tony menafikan sudah mempunyai perancangan untuk berkahwin. Kini berusia 40 tahun, dia bagaimanapun masih berfikiran terbuka mencari pasangan sehidup semati walaupun dianggap sebagai sudah agak berusia.





KOSMO!: Mungkin Tony boleh kongsikan kehidupan selepas kontroversi yang melanda diri anda dua tahun lepas?

TONY EUSOFF: Terus terang dikatakan, saya ingatkan tiada lagi produksi yang akan panggil saya berlakon. Saya fikir kerjaya sudah terkubur. Tetapi saya tidak salahkan sesiapa sekiranya perkara itu berlaku kepada saya (digam) kerana perlu menanggung kesan di atas perbuatan sendiri.

Saya sedar akan kesilapan itu. Bagaimanapun, saya terkejut juga kerana selepas dibebaskan tawaran yang datang lebih banyak berbanding sebelum dipenjarakan.

Maknanya tiada istilah anda disisihkan dalam industri atau digam oleh mana-mana stesen televisyen?

Saya diberikan peluang kedua. Saya tidak pernah melarikan diri daripada media dan apa yang sudah berlaku, saya reda dengan kesannya dan sentiasa bersikap jujur andai ingin ditemu bual.

Bagi saya, tiada alasan untuk berselindung dan yang salah tetap salah. Keluarga saya juga banyak memberikan sokongan.

Keluarga saya kecil, namun sokongan daripada mereka memang tidak berbelah bahagi. Saya memang seorang yang bertuah kerana sentiasa dikelilingi orang yang amat menyokong.

Dalam tempoh dua tahun, jarang melihat kelibat anda di kaca televisyen, apa sebenarnya yang anda lakukan?

Kerjaya tetap berjalan seperti biasa. Malah, saya masih mendapat tawaran berlakon filem. Saya baru selesai penggambaran filem Red Storm. Saya juga terbabit dalam filem The Legend Of Pontianak.

Sekarang saya berjinak-jinak dalam perniagaan sektor makanan dan minuman (F&B). Sudah setahun saya mengusahakan perniagaan kecil-kecilan menjual sosej jenama Yoohoo Hot Dog di APW, Bangsar.

Oh ya, selain itu saya ada juga terlibat dengan beberapa projek drama online aplikasi Viu seperti Jibrail dan The Bridge.

Baiklah, bagaimana bergandingan dengan Rita dalam Projek Dapat Baby ini?

Saya sudah beberapa kali bekerja dengan Rita. Soal keserasian, memang tiada masalah. Dalam drama ini, saya memainkan watak pasangan suami isteri yang hidup bahagia, namun hanya satu perkara yang belum lengkap iaitu urusan mendapatkan zuriat.

Banyak unsur-unsur komedi yang diselitkan dalam drama ini dan saya suka sebenarnya melakonkan watak komedi. Siri lapan episod itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Rita Rudaini, Azhar Sulaiman, Louisa Chong, Aida Khaleeda dan Fikry Ibrahim.

Ia telah menemui penonton di YouTube bermula 30 Julai lalu pada setiap Isnin dan Selasa bermula 1 petang.

Ada yang beranggapan anda sebenarnya sudah berkahwin selepas tercetusnya kontroversi sebelum ini. Komen anda?

Saya masih belum berkahwin lagi dan masih bujang. Siapa ada calon, boleh kenal-kenalkan kepada saya (ketawa). Kalau ingin kahwin perlu ada calon. Saya calon pun belum ada.

Adakah anda berfikiran usia 40 tahun sudah terlalu lewat untuk ke arah itu (perkahwinan)?

Bukan begitu, saya tetap ingin berkahwin, cuma sekarang belum ada perancangan untuk ke arah itu. Biarlah saya menstabilkan kerjaya saya yang ‘tertangguh’ sebelum ini. Kalau sudah sampai waktu dan ekonomi sudah stabil, pasti saya akan memikirkan tentang hal perkahwinan.

Post a Comment

Previous Post Next Post