Siti Badriah Lagi Syantik Kebangkitan, kesan muzik video


Memperolehi sebanyak 298 juta tontonan dalam laman YouTube sejak muzik video lagu Lagi Syantik dimuat naik pada Mac lalu, malah memecah rekod lagu Indonesia apabila tersenarai dalam carta lagu dunia, Billboard 100, ironi, tidak ada yang luar biasa terhadap pembikinan atau hasil muzik video tersebut.

Ia hanya menyaksikan penyanyinya, Siti Badriah bersama empat penari latar (dua lelaki dan dua perempuan) membuat tarian atau gerakan yang cukup sederhana. Muzik video tersebut dirakamkan di tepi pantai dalam dua keadaan iaitu siang dan malam. Mereka juga memakai busana yang sangat ringkas, sesuai dengan mood dan genre lagu tersebut yang berentak house music dan dangdut.

Bagaimanapun, selain popular kerana lagunya, Lagi Syantik menyita perhatian khalayak sekali gus menjadi fenomena adalah kerana tarian dan gerakan ringkas yang dipersembahkan menerusi muzik videonya. Antara yang menjadi ikutan adalah gerakan dua jari saat Siti Badriah mendendangkan bait kata ‘pengen berduaan dengan dirimu saja’. Bukan sekadar menular dalam laman sosial dengan pelbagai versi tarian atau menjadi pilihan utama lipsync para pengguna aplikasi Tik Tok, penangan muzik video Lagi Syantik turut meracuni pemikiran anak-anak sekolah. Buktinya, pada pertandingan tarian di sekolah anak penulis baru-baru ini, sekumpulan lima orang pelajar perempuan yang baru berusia lapan tahun (darjah dua), begitu gigih membuat persembahan mengikut rentak dan gaya dalam muzik video milik syarikat rakaman Nagaswara tersebut.

Selain Lagi Syantik, banyak lagu yang dihasilkan pada masa kini menjadi tenar kerana bantuan muzik video yang dimuat naik dalam YouTube. Hal ini kerana, pada saat banyak stesen radio hanya memainkan lagu ‘pilihan mereka’, YouTube tidak memilih bulu atau ada piawaian untuk menyiarkan sesebuah muzik video asalkan ia tidak mengandungi pengisian yang ekstrem.

Melalui YouTube, lagu milik penyanyi muda seperti Ismail Izzani meledak-ledak. Mempunyai skil tarian yang baik selain ‘muka jambu boleh jual’, hitnya Luar Biasa yang dikeluarkan pada Mac tahun ini sudah ditonton sebanyak 13 juta tontonan.

Jauh sebelum YouTube menjadi platform penayangan hasil kreativiti sesebuah muzik video, saluran seperti VHI dan MTV terlebih dahulu menjadi pilihan penonton dan penggemar muzik. Menayangkan variasi muzik video dari seluruh negara di dunia termasuk temu bual eksklusif bersama penyanyi atau di sebalik tabir pembikinan sesebuah muzik video, MTV suatu ketika dahulu dibenci para ibu bapa yang bimbang anak belia mereka terpengaruh dengan kandungan klip yang terdapat dalam muzik video, terutama dari Barat. Hal ini kerana selain tidak menjaga sensitiviti dari segi penampilan, terdapat banyak muzik video berbentuk eksplisit yang ditayangkan tanpa potongan.

Bagaimanapun, ia pernah menjadi satu budaya pop dan seperti kiblat fesyen atau hal-hal yang bersifat kekinian bagi anak muda. Apa yang dipaparkan dalam muzik video, itu yang perlu diikuti.





Pupus

Hakikatnya, pada awal tahun 2000, peranan sesebuah muzik video hampir pupus. Pada tahun 2003, satu artikel yang ditulis dalam The New York Times menyifatkan, muzik video merudum kerana pembikinannya tidak lagi mencapai piawaian yang dimahukan penonton.

Bagaimanapun, ia kembali menjadi satu bisnes yang menguntungkan apabila internet mula berkembang beberapa tahun kemudian. Kebanyakan syarikat rakaman kembali melihat kepentingan muzik video sebagai sebuah medium mempromosi lagu yang dihasilkan dan memilih cabang siaran digital sebagai alternatif terbaik mendekati peminat.

Lihat saja bagaimana penyanyi Miley Cyrus mengejutkan dunia dengan penampilannya yang berbogel dalam beberapa potongan klip muzik video Wrecking Ball yang dimuat naik dalam YouTube pada tahun 2013 dan telah ditonton sebanyak 900 juta tontonan.

Rapper Drake juga tidak perlu bersusah payah mempromosikan single terkininya, In My Feelings apabila ia menjadi kegilaan peminat di seluruh dunia selepas menjadi tular atas usaha seorang pelawak yang juga pengguna Instagram bernama @theshiggyshow.

Hal ini kerana, lelaki berkenaan yang memulakan trend Keke Challenge yang sempat mendapat perhatian daripada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia yang tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas pelaku yang membuat cabaran tersebut di atas jalan raya dengan kereta yang bergerak. Ironinya, muzik video lagu tersebut hanya menyaksikan Drake duduk di atas kereta pacuan empat roda yang tidak bergerak!

Biarpun setiap hari pembikin muzik video menghasilkan klip yang beragam mengikut peredaran masa, ia masih belum mampu menandingi nilai muzik video milik adik-beradik Michael dan Janet Jackson. Sehingga hari ini, muzik video milik Michael dan Janet, Scream, yang terkandung dalam album HIStory: Past, Present and Future, Book I itu merupakan muzik video paling mahal yang pernah dihasilkan dalam sejarah muzik dunia. Muzik video yang dihasilkan pada tahun 1995 tersebut bernilai RM29 juta. Pengarah, Mark Romanek bertanggungjawab menghasilkan muzik video yang disifatkan mendahului zaman tersebut dibikin ‘dalam’ kapal angkasa moden lengkap dengan galeri seni, taman zen dan gelanggang squash yang futuristik. Muzik video Despacito pula memperoleh tontonan paling banyak iaitu 4.92 bilion tontonan sejak Januari 2017.

Muzik video yang bagus tidak semestinya menelan kos pembikinan yang luar biasa mahal, tetapi bagaimana dalam tempoh kurang daripada lima minit, mampu memberi kepuasan dari segi mesej dan pengisian sama seperti seseorang mengeluarkan wang untuk menonton filem dengan durasi melebihi sejam. Pada saat penjualan album secara fizik begitu tenat, penjualan muzik video dalam YouTube dilihat menjadi alternatif paling menguntungkan pada masa kini.


Post a Comment

Previous Post Next Post