Big Stage serlah bakat sebenar artis BBNU


Konsert minggu pertama, Big Stage, sebuah program menampilkan bakat-bakat baharu yang sedang mencipta fenomena tersendiri dalam laman sosial ternyata memperlihatkan kemampuan sebenar penyanyi muda tanah air.

Menampilkan 10 orang peserta terdiri daripada Tajul, Fara Hezel, Syafiq Farhain, Afeiq Shazwan, Sissy Iman, Sarah Suhairi, Baby Shima, Wany Kayrie, Andi Bernadee dan Arief Bahran, semua pucuk baharu itu berdepan cabaran berbeza di pentas Big Stage.

Dalam bahasa mudah, majoriti peserta yang digelar Budak Baru Nak Up (BBNU) itu kelihatan kekok saat membuat persembahan di atas pentas, ada yang terlampau gementar dan tidak kurang juga yang memilih melakukan sesuatu dalam zon selamat sahaja.

Perkara sama diakui penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir selaku juri tetap yang menganggap masih banyak perkara perlu dipelajari peserta Big Stage.

“Bagi minggu pertama, saya dapat lihat tidak semestinya video nyanyian di YouTube yang mencecah jutaan tontonan menjamin seseorang penyanyi untuk memberikan persembahan terbaik sewaktu beraksi secara langsung.

“Namun saya faham. Ini baru minggu permulaan dan ada antara mereka yang baru pertama kali membuat persembahan di atas pentas besar. Jadi, saya harap prestasi mereka semakin meningkat pada minggu hadapan,” kata Siti sewaktu ditemui usai konsert minggu pertama di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor baru-baru ini.

Konsert Big Stage: https://goo.gl/aoJjRi







Usaha keras

Keputusan konsert pertama menyaksikan Arief, 20, yang popular dengan lagu Kata Akhirmu menjadi peserta tercorot apabila tidak mendapat jumlah markah memuaskan daripada barisan juri dan undian peminat.

Namun begitu, Arief yang membawakan lagu sama bernasib baik apabila tiada penyingkiran dibuat pada minggu pertama, sekali gus memberikannya peluang kedua bagi memperbaiki tahap persembahan pada minggu kedua.

“Sejujurnya saya sudah bergenang air mata kerana tahu sebenarnya mampu memberikan aksi lebih baik dalam persembahan, namun kerana terlalu melawan debaran, ia mengganggu fokus nyanyian serta vokal saya.

“Terima kasih diucapkan terhadap Big Stage kerana masih membuka peluang untuk saya terus bertanding. Saya berjanji akan berusaha lebih keras bagi minggu kedua,” ujarnya.

Big Stage yang dihoskan oleh Alif Satar bersama Sherry Al-Hadad disiarkan setiap Ahad pada pukul 9 malam menerusi saluran Astro Ria 104 dan Ria HD 123. Pemarkahan program tersebut terbahagi dua iaitu juri berhak menentukan tempat tiga tercorot dan nasib peserta tersingkir ditentukan menerusi undian peminat menerusi aplikasi Tik Tok.

Juara Big Stage akan memenangi wang tunai RM100,000 berserta trofi sumbangan Astro. Pemenang tempat kedua dan ketiga, masing-masing bakal membawa pulang wang tunai RM50,000 dan RM25,000.

Post a Comment

Previous Post Next Post