Adzrin kini perlu menjaga permakanan dan bergantung pada ubat-ubatan.
Penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Pujaan Malaya, Adzrin Adzhar akhirnya bebas penyakit kanser ovari tahap dua yang dihidap sejak tiga tahun lalu.
Adzrin, 33, berkata dia tidak menjalani rawatan kimoterapi namun hanya menjaga permakanan supaya kanser itu tidak menyerangnya kembali.
"Selama tiga tahun juga saya berjuang untuk terus hidup selepas disahkan mengidap kanser ovari tahap dua.
"Alhamdulillah, selepas pemeriksaan doktor mengesahkan kanser saya itu sudah tiada.
"Saya tidak menjalani sebarang rawatan kimoterapi tapi ada mengambil beberapa ubat dan menjaga permakanaan sahaja," kata Adzrin.
Adzrin bersama anak kembarnya.
Adzrin ditemui ketika membuat persembahan di majlis pentauliahan Pegawai Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di BoraOmbak, Putrajaya pada baru-baru ini.
Sebelum ini, Adzrin pernah mendedahkan dia terpaksa menjalani pembedahan membuang ovari kanan apabila disahkan mengandung anak kembar luar rahim pada 2008.
Adzrin yang berkahwin pada 2007 selepas itu dikurniakan sepasang kembar perempuan Hana Jasmin dan Hana Dahlia, kini berusia setahun enam bulan.
Dalam pada itu, Adzrin tidak sabar menunggu kepulangan bapanya, bekas Ketua Cawangan UMNO Bahagian Cheras, Datuk Adzhar Sulaiman yang dipenjara selepas didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram pada 2011.
"Kami satu sekeluarga memang sudah tidak sabar menunggu kepulangan ayah pada Januari 2019 nanti.
Adzrin telah dibebaskan pada 8 Oktober 2011.
"Sudah lama kami nantikan saat ayah pulang ke rumah. Insya-Allah tak lama saja lagi," ujarnya.
Terdahulu, Adzrin dan bapa serta kakaknya, Noradzma, 37, dipenjara dan didenda selepas disabitkan bersalah atas tuduhan menerima deposit berjumlah lebih RM100 juta tanpa lesen dan 360 tuduhan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM59 juta.
Mereka didakwa menggunakan wang haram untuk membeli hartanah, produk insurans, pelaburan serta memindahkan wang ke akaun anak syarikat mereka di beberapa buah bank di sekitar Kuala Lumpur di antara 14 Ogos 2007 dan 6 Januari 2009.
Bagaimana pun, Adzrin hanya dipenjara selama lapan bulan dan dibebaskan pada 8 Oktober 2011. Manakala kakaknya telah dibebaskan pada tahun lalu.