Neelofa Kalau tak mampu saya takkan beli


Baru-baru ini, kecoh mengenai beberapa artis dan instafamous yang menggunakan barang-barang berjenama tiruan.

Biarpun kurang bersetuju dengan tindakan pemilik akaun Instagram itu yang dianggap agak kasar, selebriti popular, Noor Neelofa Mohd Noor bagaimanapun melihat sudah tiba masanya masyarakat menukar cara pemikiran mereka.

“Tidak dinafikan cara mereka mendedahkan perkara itu agak kasar kerana ia memalukan, mengaibkan si pengguna.

"Tapi sudah tiba masanya masyarakat menukar cara pemikiran mereka.

"Bagi saya kalau anda teringin beli atau pakai barangan berjenama tetapi tidak mampu, jadikan ia sebagai target, kumpul duit dan beli.

"Bukan gunakan alasan tak mampu dan beli barang tiruan atau gred A, gred B dan sebagainya," ujar Neelofa ketika ditemui pada Kempen Khidmat Masyarakat bersama Starbucks, di Kuala Lumpur, hari ini.

Tambah Neelofa, sejak dulu lagi, dia tidak pernah mengajar dirinya untuk membeli barangan tiruan dan sentiasa menjadikan barangan idaman satu inspirasi untuk mendapatkannya.

"Dulu masa saya tak ada duit, saya tak beli dan simpan duit untuk beli.

"Malah saya sentiasa jadikan barangan yang diidamkan sebagai satu inspirasi bahawa suatu hari nanti, saya boleh beli tanpa fikirkan apa-apa," katanya.






Malah sebagai usahawan, figura berusia 29 tahun ini berkata, dia juga berdepan dengan masalah barangan tiruan dan berasa terkilan apabila berjumpa dengan individu yang memakai barangan tiruan di bawah jenamanya.

"Sebelum ini Naelofar Hijab sering berdepan dengan masalah barangan tiruan dan saya sendiri pernah berjumpa dengan orang yang memakai barangan tiruan di bawah jenama Naelofar.

"Sehingga kini pun kami masih berdepan masalah sama dan tidak dinafikan saya berasa sakit hati.

"Cuma kini kami keluarkan pelbagai koleksi dan mereka (pengeluar barangan tiruan) tidak sempat untuk kejar pengeluaran terkini kami.

"Tapi bagi saya salah tetap salah dan beli benda palsu itu adalah perkara yang salah," tegasnya.

Dalam pada itu, bercakap mengenai kempen khidmat masyarakat bersama Starbucks, Neelofa berkata, setiap pembelian minuman Apricot and Peach Yoghurt Frappuccino atau Ruby Grape Frappuccino, 50 sen dari harga minuman tersebut akan didermakan pada badan kebajikan yang akan dipilihnya kelak.

"Kempen ini akan berlangsung satu hari ini sahaja dan alhamdulillah setakat ini sambutan sangat menggalakkan.

"Insya-Allah sudah ada beberapa perbincangan serius dengan pihak Starbucks untuk program akan datang tapi buat masa ini, hanya ini yang boleh saya kongsikan," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post