Mamat Khalid Jantung saya tak stabil


Pengarah filem Hantu Kak Limah, Mamat Khalid memberitahu, dia kini tidak boleh melakukan kerja berat, selain mengelakkan tekanan akibat masalah jantung yang tidak stabil.

Menurut Mamat atau nama sebenarnya Mohamad Mohamad Khalid, 55, dia kini masih menerima rawatan susulan selepas serangan jantung tahun lalu.

"Keadaan saya sekarang masih sakit. Doktor nasihatkan saya jangan ada tekanan. Kena banyakkan berehat sahaja sebab jantung saya tak stabil.

"Sebab itu, kalau saya berjalan pun kena berhenti untuk duduk sekejap bagi merehatkan diri.

"Setakat ini rawatan masih diteruskan dan berulang-alik ke hospital. Selebihnya, masa saya dihabiskan di rumah untuk berehat.

"Doktor juga menasihati saya untuk mengelakkan diri daripada stress dan syukur Alhamdulillah, perjalanan filem Hantu Kak Limah sangat lancar," katanya ketika ditemui padamalam tayangan filem Hantu Kak Limah di MMCineplexes E@Curve, baru-baru ini.


Mamat pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan di Ampang, Selangor tahun lalu selepas mengadu sesak nafas.

Dalam pada itu, Mamat berkata dia menerbitkan filem terbaharunya itu hanya semata-mata untuk menghiburkan penonton.

"Saya hanya ingin melihat penonton tidak berhenti ketawa sepanjang menyaksikan filem ini.

"Untuk pertama kalinya saya hasilkan filem untuk penonton dan tidak lagi mengikut kepala saya sendiri.





"Bagaimanapun saya masih lagi mengekalkan double layer (maksud tersirat) agar penonton dapat menangkap apa yang cuba saya sampaikan," katanya.

Meneruskan francais Kampung Pisang yang keempat, filem terbitan Astro Shaw dan Infinitus Gold itu bakal bertemu penonton pada 9 Ogos ini.

Filem arahan Mamat itu dibintangi oleh Datuk Awie, Zul Ariffin, Uqasha Senrose, Ropie, Delimawati, TJ Isa, Arwahyarham Rab Khalid.

Selain itu, filem ini turut menampilkan beberapa selebriti terkenal iaitu Erra Fazira, Jue Aziz, Datuk Seri Vida, Mus may dan Sabri Yunus.

Post a Comment

Previous Post Next Post