
Penyampai radio bersuara emas, Linda Onn kembali ke udara selepas memilih untuk bersama stesen radio Kool FM mulai semalam untuk slot Petang Kool, dari pukul 3-7 petang.
Linda atau nama lengkapnya, Rozlinda Onn, 41, ternyata tidak dapat menyembunyikan rasa terujanya kembali ke konti radio kerana merasanya radio adalah dunianya.
“Setelah sekian lama tak ke udara setiap hari, akhirnya hari ni Linda kembali on air temani anda. Terubat juga rindu untuk berinteraksi dengan pendengar semua.
“Banyak juga benda baru kena belajar. Maklumlah..sistem sentiasa upgraded kan. Terima kasih @koolfmmy kerana percayakan Linda.
“Kepada semua, terima kasih kerana mendengar dan teruskan sokongan buat Kool FM, kerana mereka kool,” tulis Linda sebagai kapsyen pada foto dan video yang dimuat naik di lama Instagramnya sempena hari pertamanya bersiaran di Kool FM.
Ternyata ‘kepulangan’ Linda ke konti radio mendapat sokongan ramai, bukan sahaja daripada peminat setianya tetapi juga di kalangan media dan rakan-rakan artis.
Datin Umie Aida dan Fara Fauzana dilihat turut meluahkan perasaan gembira mereka apabila Linda kini secara rasminya kembali bergelar penyampai radio.
“Yeay dapat lepas rindu mendengar suaramu,” komen Umie Aida.
Terdahulu sebelum itu, Linda pada Ahad telah memberi bayangan awal bakal kembali ke konti radio kerana rindu untuk ke udara bersama para peminatnya.
“Ini seni ku. Mana mungkin seorang penyanyi mahu berhenti menyanyi? Mana mungkin seorang pelakon mahu berhenti berlakon? Mana mungkin seorang penulis mahu berhenti menulis? Mana mungkin seorang tukang masak mahu berhenti memasak? Mana mungkin Linda, mahu berhenti dari radio?
“Selagi rezeki masih di radio, selagi masih mampu...akan ku teruskan. Tak mungkin ada yang berhenti daripada terus melaksanakan minatnya jika minat itu ikhlas dari hati. Tak mungkin berhenti kerana rasa sudah puas atau sudah cukup. Minat bukan untuk dikumpul. Minat adalah untuk diteruskan.
“Setelah beberapa bulan berehat, esok Linda kembali on-air di radio! Setiap hari Isnin hingga Jumaat, 3 petang hingga 7 malam. Jom dengar radio! Ehemm..Ehem...kena adjust balik suara ni,” kongsinya.
Penyampai radio popular Anugerah Bintang Popular selama enam kali ini, pernah berkhidmat beberapa stesen radio seprti Era FM, Sinar FM dan Suria FM.