
Nama pelakon dan penyanyi Aliff Aziz kembali menjadi bualan hangat apabila didakwa telah menipu seorang usahawan dan tidak melunaskan janjinya kepada sebuah syarikat pengurusan acara.
Pendedahan tersebut telah dilakukan oleh seorang individu yang didakwa sebagai mangsa menerusi satu posting yang dimuat naik di laman Facebook miliknya.
Menurut individu terbabit, Aliff yang mula dikenalinya pada Ramadan lalu, telah menghubunginya untuk meminjam sejumlah wang dan mengakui dalam keadaan terdesak.

Meski pada mulanya dia agak berat hati untuk memenuhi permintaan Aliff, namun apabila pelakon Hati Yang Kau Curi itu merayunya berkali-kali dan menawarkan diri untuk mempromosikan produk minyak wangi miliknya setiap minggu selama lapan minggu, dia kemudiannya bersetuju.
“Selepas mendesak banyak kali dengan tawaran dan janji manis, saya hanya bagi sejumlah amaun. Actually ribu jugak bukan ratus ya, Selepas bagi duit dia cuba ugut saya banyak kali lagi untuk transfer lagi duit kalau tak, dia tak akan promote.
“Selepas saya bekeras tak nak bagi duit lagi dia cakap hanya akan post sekali sahaja walhal janji sebelumnya untuk 8 minggu,” luahnya dalam satu posting yang dimuat naik di laman Facebook miliknya semalam.

Menafikan tindakannya itu sebagai satu cubaan untuk menjatuhkan, individu terbabit menegaskan, pengkongsiannya hanya untuk memastikan orang ramai tidak mengalami nasib yang sama sepertinya.
“Hati-hati. Ini bukan cubaan untuk menjatuhkan mana-mana pihak. Tapi saya terpanggil sebagai orang yang teraniaya untuk maklumkan pada umum agar tak ada lagi yang tertipu dengan manusia berpura pura ini.
“Cubaan untuk meminta semula duit dan buat report telah diugut oleh beliau kerana dia ada peguam sendiri!! Apakah?? Sedangkan kami orang teraniaya tapi diperlakukan sepert ini. Allahuakabrrr,” ujarnya.
Dalam pada itu, individu terbabit juga turut memberitahu, Aliff juga mencetuskan masalah dengan rakannya yang juga merupakan seorang penganjur acara.
“Dalam masa sama, rakan lain juga terkena. Rakan lain merupakan organizer event, dia jemput Aliff Aziz sebagai artis jemputan. Rakan saya telah beri duit deposit dan akhirnya dia tak hadir event itu.
“Rakan telah menanggung rugi dan turut dimarahi vendor kerana cuba menipu kerana artis yang dijanjikan tak muncul, walhal Aliff Aziz cancel last minit dan tidak ingin melakukan refund walaupun satu sen,” dedahnya.

Tambahnya lagi, dia tidak berniat mengaibkan sesiapa, namun tindakan Aliff itu dianggap sebagai tidak bertanggungjawab apatah lagi lagi menganiayai orang yang membantunya ketika dalam kesusahan.
“Niat saya bukan nak aibkan mana-mana pihak. Siapa yang kenal saya tahu lah. Di awalnya saya sebolehnya tak nak dedahkan siapa artis tu. Takut saya nak aibkan org.
“Saya cuba deal cara elok walhal dia yang hubungi saya banyak kali nak pinjam duit. Tapi bila saya hubungi untuk dapat keadilan sewajarnya dia buat saya macam sampah,” katanya.
Bagi membuktikan dakwaannya, individu terbabit turut memuat naik paparan skrin perbualannya dengan Alif berhubung perkara tersebut.
“Bila saya kena tipu macam ni saya terpanggil untuk dedahkan pada umum supaya jadi pengajaran dan ramai orang tak kena macam saya lagi. Terpulang nak percaya atau tidak.
“Saya doakan anda bukan mangsa dia yang seterusnya. Sekian. Mohon maaf salah silap saya netizen,” tegasnya.