Penyanyi, Haqiem Rusli, 20, sentiasa mengingatkan peminat-peminat fanatiknya supaya tidak menghentam orang lain mahupun artis lain untuk mempertahankannya.
Menurut Haqiem atau Ridzuan Haqiem Rusli, setiap kali tampil membuat persembahan, dia akan memberi peringatan kepada mereka.
“Setiap kali persembahan, saya akan minta mereka tidak menghentam atau ‘bash’ orang lain yang bercakap mengenai saya.
“Saya mengingatkan mereka supaya menyokong artis lain juga yang berada di dalam industri,” katanya kepada Harian Metro.
Tambahnya, setiap tindak tanduk peminatnya akan memberi kesan kepada dirinya.
“Apa yang mereka buat contohnya menghentam orang lain untuk mempertahankan saya, akan beri kesan kepada diri saya juga.
“Kerana itu, akan timbul pergaduhan antara peminat dan mereka yang bencikan saya. Buat apa perlu bergaduh,” katanya.
Ditanya mengenai perkembangan rawatan kemurungan seperti yang dijalaninya sebelum ini, Haqiem enggan mengulas lanjut.
“Saya tak mahu komen apa-apa mengenainya,” katanya.
Terbaru, dia kini masih mempromosikan single terbarunya, Selamat Tinggal Sayang yang jumlah tontonan video muziknya kini mencecah hampir lima juta.