Elizabeth Tan tak minat Mat Saleh


Penyanyi Elizabeth Tan pernah mengalami episod putus cinta sekitar tahun lalu. Apa yang dilaluinya itu benar-benar memberikan impak besar kepada dirinya apabila dia turut mengalami kemurungan sehingga terpaksa mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, hari ini episod hitam dalam hidupnya sebolehnya mahu dilupakan. Penyanyi yang mesra dengan sapaan Lizzy itu tampil dengan semangat dan keyakinan baharu untuk terus berdepan dengan hari-hari mendatang. Biarpun kenangan putus cinta itu menyakitkan, Lizzy tidak pernah rasa serik untuk membuka hati menerima kehadiran orang baharu.

Cuma katanya, dia kini masih lagi berstatus solo kerana belum menemui insan yang betul-betul sesuai dengan dirinya. Pada masa sama katanya, dia akan lebih berhati-hati dalam memilih lelaki istimewa dalam hidupnya kelak.

“Saya sudah boleh terima hakikat dengan apa yang berlaku. Kalau boleh tak mahu lagi bercakap mengenainya (bekas teman lelaki). Cuma, selepas ini saya mahukan seorang lelaki yang jujur dan mempunyai integriti. Kalau dia cakap sesuatu itu, dia benar-benar maksudkannya dan bukanlah setakat cakap kosong sahaja,” katanya kepada Sensasi Bintang dalam satu sesi fotografi baru-baru ini.

Bercerita lanjut mengenai kriteria lelaki pilihannya, menurut pelantun lagu Knock Knock itu, dia mencari teman lelaki yang memiliki fizikal lebih tinggi daripadanya.

“Semestinya saya mencari lelaki yang tinggi daripada saya. Cuma, itulah, agak terhad sedikit kerana tak ramai yang tinggi kalau orang di Malaysia ini. Saiz orang Asia agak rendah sahaja,” selorohnya yang mengakui kriteria itu mungkin lebih sinonim dalam kalangan Mat Saleh.

Sungguh pun begitu, katanya, dia tidak berminat untuk bercinta dengan lelaki Mat Saleh. Katanya, dia mencari seorang yang pandai berjenaka.

“Saya tidak suka Mat Saleh. Mereka tidak pandai buat lawak, bosan pula nanti,” katanya.





Menurut Lizzy lagi, jika mengikut hasrat hati, dia merancang mahu mendirikan rumah tangga pada usia 26 tahun.

“Saya teringin nak ada bayi sendiri. Dua tahun selepas kahwin itu saya rancang mahu dapat anak pertama, kemudian dua tahun lagi dapat anak yang kedua.

“Cuma, sekarang ini rasanya macam sudah terlambat kerana sampai sekarang belum ada calon lagi. Kalaulah usia sudah 30 tahun dan masih solo, tak dapat nak bayangkan,” kata penyanyi berusia 25 tahun ini.

Jelas Lizzy lagi, ibunya pernah cuba menjodohkan dirinya dengan anak kenalan orang tuanya. Bagaimanapun, lelaki tersebut dilihat bukanlah mengikut pilihan hatinya.

Dalam perkembangan lain, menurut Lizzy dia kini tampil dengan lagu baharu berjudul Police Entry hasil nukilan komposer Hael Husaini dan Ezra Kong. Menurutnya, lagu itu disifatkan mampu mengembalikan kenangan lagu-lagu sewaktu zaman kanak-kanak.

“Sebaik saya mendengar lagu ini, saya tertarik kerana muziknya yang kedengaran cukup catchy dan mudah untuk didengari.

“Pada asalnya, kalau ikutkan adalah Police and Thief. Bagaimanapun, lagu ini merupakan lagu yang sering dinyanyikan kanak-kanak apabila bermain Police Entry. Jadi, kita kekalkan tajuknya sebagai Police Entry.

Ditanya sama ada lagu itu ditujukan buat bekas kekasihnya, kata Lizzy liriknya lebih bersifat umum.

“Kalau dia mahu terasa, terpulanglah. Pada saya liriknya itu boleh digunakan untuk sesiapa sahaja dan orang lain di luar sana yang mungkin pernah mengalami nasib sama,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post