Kumpulan indie popular, Bunkface tampil membuat kejutan di hadapan perkarangan pintu masuk Pavilion, semalam.
Menurut kumpulan popular menerusi lagu Revolusi dan Malam Ini Kita Punya, mereka mengadakan satu eksperimen sosial sebagai kempen untuk menghidupkan semangat patriotik sempena bulan kemerdekaan.
Selaku vokalis, Sam atau nama penuhnya Shamsul Anuar berkata, kempen ini bertujuan untuk menyatupadukan dan memupuk masyarakat Malaysia menerusi eksperimen sosial #Kitapunya.
"Alhamdulillah, mereka nampaknya bersemangat tambahan disajikan dengan lagu terbaharu Bunkface bertajuk, Kita Punya Malaysia.
"Meski patriotik tetapi rentak lagu dalam nafas baharu ini bukan lagi berentak seperti lagu-lagu kebangsaan tahun-tahun sebelum ini," ujar Sam.

Kempen #Kitapunya ini merupakan kerjasama bersama pihak Media Prima dan Jabatan Penerangan Malaysia sempena Hari Kemerdekaan.
Dalam kempen yang berlangsung sekitar jam 5 petang semalam disambut baik oleh masyarakat Malaysia. Masing-masing bersemangat mengambil bahagian menjawab soalan berkaitan yang dipancarkan menerusi LCD Pavilion.