Tya Ariffin, suami dapat keluarga baharu gara-gara anak


Pelakon kelahiran Indonesia, Tya Ariffin berkata, dia dan suami, Asyraf Khalid belum memikirkan perancangan untuk menambah cahaya mata dalam masa terdekat.

Menantu kepada penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza itu berkata, kehidupan mereka semakin bahagia sejak kelahiran cahaya mata lelaki, Arif Jiwa pada 31 Mac 2017.

Malah, kelahiran Arif juga mempertemukan mereka dengan 'keluarga baharu', terutama dalam kalangan pengikut laman sosial, Instagram yang mengikuti perkembangan anaknya.

"Kami sentiasa menerima kiriman doa daripada mereka yang suka melihat keletah dan telatah Arif. Setiap kali keluar, pasti ada yang menyapa dan situasi itu cukup membahagiakan kami.

"Apabila mereka membahasakan diri sebagai pakcik dan makcik kepada Arif, kami seolah-olah dipertemukan dengan 'keluarga baharu'.

"Memandangkan Arif masih memerlukan perhatian, saya belum terfikir untuk hamil lagi. Biarlah Arif membesar dan matang dahulu sebelum kami merancang anak kedua," katanya mengenai si comel yang pernah meraih gelaran Si Cilik MeleTOP, Anugerah MeleTOP Era 2018 itu.

Mengakui kelahiran Arif membawa rezeki dalam keluarga mereka, Tya yang berasal dari Palembang berkata, perjalanan sebagai ibu sejak lebih setahun lalu menggerakkan hatinya untuk berkongsi pengalaman dengan wanita lain.

Menerusi Mutyara Beauty, Tya berharap, kehadiran produk itu akan menjadikan wanita lebih prihatin dalam aspek penjagaan dalaman mereka.





"Saya adalah pengamal jamu tegar dan gemar meminum ramuan yang diturunkan keluarga. Saya melihat potensi jamu ini untuk dikomersialkan kerana mahu setiap wanita tahu pentingnya menjaga kesihatan diri.

"Jamu ini sesuai diminum semua wanita dan boleh diamalkan seawal usia 16 tahun. Saya berharap kelahiran produk ini akan mengubah pandangan terhadap jamu kerana penggunaannya tidak hanya terbatas kepada wanita yang baru melahirkan anak," katanya.

Tya yang menceburi dunia lakonan sejak usia 18 tahun di negara kelahirannya juga sedang menghitung hari menanti filem terbarunya, Preman Pensiun arahan Aris Nugraha menemui penonton di pawagam bermula 13 September ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post