Faizal Ismail pindah dapur penuhi permintaan pelanggan


Permintaan berganda terhadap makanan sejuk beku yang diusahakan di rumah membuatkan personaliti radio, Faizal Ismail, memindahkan operasi ke kilang di Rawang sejak November tahun lalu.

Katanya, dapur di kediamannya tidak lagi sesuai untuk memasak daging hitam manis, dendeng dan ayam yang sebelum ini dapat menghasilkan kira-kira 30 kilogram pengeluaran sehari.

"Boleh dikatakan, promosi mulut ke mulut juga melonjakkan permintaan terhadap produk saya usahakan ini. Jadi, saya dan isteri sepakat memindahkan dapur di lokasi lebih besar dan selesa di Rawang bagi memenuhi permintaan.

"Meneroka Industri Kecil Sederhana (IKS) bermula dari bawah juga memberi cabaran tersendiri. Kalau ikutkan, memang banyak perancangan kami susun, namun untuk memikirkan soal eksport ke luar negara, rasanya ia memerlukan pelan jangka panjang.

"Kami mahu penuhi dulu permintaan setempat dan buat masa ini, kami dalam proses mendapatkan sijil Halal. Selepas menerima pengesahan itu, barulah kami fikirkan untuk tujuan eksport dalam skala besar," katanya yang mengusahakan bisnes makanan terbabit sejak 2015.

Sementara itu, radio digital miliknya yang pada awal beroperasi di konti rumah, tahun lalu, turut dipindahkan ke premis lebih besar bagi menampung operasinya yang semakin berkembang.

Katanya, bersama tiga lagi rakan kongsi, termasuk bekas penyampai, Fara Fauzana, mereka merancang mempertingkatkan penyiaran hingga ke lokasi luar.





"Radio digital menerusi platform Facebook (FB) yang dimulakan sejak Syawal tahun lalu, dengan siaran selama sejam setengah setiap hari, mendapat sambutan di luar dugaan.

"Saya menerima pelbagai pertanyaan daripada syarikat luar, terutama IKS, yang berminat menaja dan membeli iklan, malah ada yang meminta saya bersiaran dari tempat mereka.

"Memikirkan adanya permintaan, terutama daripada pihak yang sedang mengadakan promosi jelajah, kenapa tidak kami kembangkan operasi, namun masih dengan konsep digital iaitu siaran langsung sama ada menerusi FB, YouTube mahu pun Instagram.

"Siarannya juga lebih meluas kerana sesiapa saja boleh mengakses saluran ini. Kami turut berpindah ke premis lebih selesa sejak April lalu, demi perkembangan operasi. Sebelum ini, konti cuma di rumah saya sendiri," katanya.

Masih berkonsepkan 'home office', Radio Digital FBI yang mempunyai petugas pemasaran dan teknikal itu bakal dilancarkan secara rasmi dalam masa terdekat.

Ulasnya lagi, buat masa ini, pihaknya turut mencari penyampai lain untuk memenuhi permintaan semasa, sekali gus mampu menambah waktu siaran.

"Sampai bila saya mahu bersiaran? Jadi, dengan adanya penyampai radio yang boleh menggantikan saya atau Fara, kami dapat menumpukan perhatian terhadap pengurusan.

"Lagi pun, banyak perancangan jangka panjang menanti, jadi kami perlu mempunyai pelapis untuk mempelbagaikan slot sekiranya mahu meneruskan projek siaran langsung di luar konti," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post