Syafiq Kyle Saya mesti berani diuji


Ketika kontroversi rakaman video yang hampir melenyapkan kepercayaan ramai menghimpitnya, pelakon yang mencetuskan fenomena menerusi drama Mencintaimu Mr Photographer, Syafiq Kyle, 26, berani berdepan hakikat sebenar.

Tidak lari daripada kontroversi, malah mahu segera menyelesaikan isu yang membebani diri, pelakon yang kini dikenali dengan watak Ustaz Adam menerusi drama Nur itu bersikap 'gentleman' dalam meleraikan kekusutan berlaku.

Hasilnya, isu memalukan itu lenyap secara perlahan-lahan.

Betul atau tidak, bukan soalnya. Terserahlah pada khalayak untuk membuat tafsiran, tetapi Syafiq berpendirian teguh ketika berdepan ujian yang menjentik dirinya.

Utuh mempertahankan pendiriannya, Syafiq mengakui:

"Ramai orang bertanya, di manakah saya mendapat kekuatan? Jujurnya, saya sendiri tidak tahu. Tetapi, saya hanya memikirkan masa depan kerjaya, selain air muka keluarga.

"Setiap manusia pasti tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Saya pula tidak mahu berterusan berada dalam tekanan dan perasaan bersalah.

"Saya kena melangkah terus, tanpa langsung memandang ke belakang. Saya perlu bersikap 'gentleman', bukan lari daripada masalah atau kontroversi.

"Ayah berpesan, saya kena berani menghadapi apa juga ujian yang datang. Mungkin sekarang Allah menimpakan sedikit ujian. Mungkin pada masa akan datang saya berdepan pula dengan situasi lebih berat dan mencabar. Segala-galanya saya tidak tahu."

Anak muda berbakat ini menambah, dia mahu mengikut sikap bapanya yang yang dilihat sebagai sangat budiman. Lelaki itu mahu dirinya memberikan jawapan dan menyelesaikan isu berkenaan dengan berani.

"Bagi saya, tidak hanya berkaitan dengan isu kontroversi, apapun masalah termasuk soal kerja, saya seharusnya bersikap 'gentleman' untuk menyenangkan kerja.

"Jika berani, tanpa memikirkan soal menjaga hati sesiapa, saya percaya orang lebih faham pendirian saya ketika bekerja. Ada perkara yang saya boleh lakukan, ada pula sebaliknya.

"Saya lebih suka berterus-terang dalam pendirian hidup saya," katanya.

Akui Syafiq, dia tidak melihat kontroversi sebagai sesuatu yang menakutkan sejak mula menjadi seorang selebriti.

"Mula-mula menjadi artis, saya percaya setiap selebriti tidak nampak kontroversi dan kecaman yang bakal dihadapi. Apa yang difikirkan, saya mahu menjadi pelakon kerana ingin popular pada usia 19 tahun.

"Saya fikir berlakon boleh popular dan mampu menjana pendapatan lumayan. Apabila bergelar pelakon, barulah saya tahu langit itu tinggi atau rendah.

"Bukan senang mahu popular dan buat duit, kita kena berusaha dan kemudian populariti akan datang dengan sendiri," katanya.

Syafiq atau nama sebenarnya, Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak berkata, kontroversi yang menghimpitnya dulu tidak seberat isu yang mengaitkan dirinya dengan kes rakaman video yang tersebar, baru-baru ini.





"Ketika berdepan dengan kontroversi, apa yang lebih penting, saya kena pilih orang sekeliling yang dapat memberikan nasihat yang betul, bukan mengeruhkan lagi keadaan. Apa saja tindakan saya akan memberi kesan sekiranya tersilap langkah.

"Saya bersyukur apabila keluarga, syarikat pengurusan dan teman baik sentiasa bersama saya. Sepanjang enam tahun menjadi pelakon, mustahil saya tidak belajar untuk berdepan kontroversi.

"Apa saja kontroversi atau cerita yang bakal mengaitkan saya dengan kisah panas, semuanya saya harus bersedia mendepani.

"Saya tidak sesekali melatah dan tertekan, biarpun kadang kala apa yang berlaku bukan silap saya. Pada masa sama, saya harus bijak mengawal diri supaya tidak terus terperangkap dalam cengkaman kontroversi yang bagai tiada penghujung," katanya.

Tanpa berselindung, Syafiq akui, tiga atau empat tahun dulu tiada siapa yang mempedulikan kehadirannya dalam arena seni.

"Beberapa tahun lalu, peminat hanya kenal saya, tetapi perhatian diberikan tidak sehebat sekarang. Ada kala timbul perasaan gusar dalam hati dengan impak besar seperti hari ini.

"Kesannya amat berat, bukan hanya saya harus berhati-hati dalam segala tindak-tanduk, malah saya kena pilih produk yang terbaik untuk mengekalkan momentum populariti.

"Segala-galanya harus diteliti, termasuklah dalam soal memilih kawan," katanya.

Pelakon yang mula diperkenalkan menerusi drama Tanah Kubur itu berkata, dia percaya usahanya selama lebih lima tahun berbayar hari ini.

"Saya menunggu lebih lima tahun untuk berada pada tahap ini. Usaha saya tidak dibayar pada tahun pertama menjadi pelakon, hanya pada tahun keenam barulah ia kelihatan.

"Selama lima tahun saya tidak nampak apapun, tetapi diwarnai dengan dugaan dan kontroversi. Pelbagai cara juga dilakukan insan tertentu untuk mengenakan saya. Namun, apa juga yang dilalui sebelum ini adalah pengalaman hidup," katanya.

Bakat kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, dia turut melihat kritikan dan kecaman sebagai proses pembelajaran.

"Bagus atau sebaliknya, itulah perjalanan hidup seseorang selebriti. Untuk menjadi terbaik, saya percaya kita kena melalui sesuatu yang buruk terlebih dulu.

"Saya masih ingat, dulu orang industri mendakwa saya seorang yang 'kekwat' mengenai lakonan. Saya dituduh marah pengarah, tidak boleh menerima teguran dan suka melawan.

"Saya akui itu cara saya bekerja. Sekarang, mereka faham cara saya. Setiap pengarah yang bekerja dengan saya mula menerima cara diri ini berkarya," katanya.

Menurut pemuda ini, mungkin beberapa tahun lalu orang mengatakan caranya lebih kepada berlagak, tetapi apabila mereka bekerja dengannya, tiada lagi timbul isu itu.

"Saya memang suka berkomunikasi. Tetapi dulu orang tidak kenal saya. Jadi, apabila saya banyak cakap dan bertanya, orang anggap saya kurang ajar pula. Tetapi hari ini, kebanyakan pengarah suka cara saya bekerja. Mereka lebih memahaminya kini. Begitupun, mungkin ada segelintir pengarah tidak boleh menerimanya.

"Prinsip saya, untuk mendapatkan sesuatu yang baik, kita harus melalui jatuh bangun dulu. Apabila tersungkur, barulah kita tahu untuk mendapatkan apa yang terbaik. Kita tahu apa yang salah untuk mendapatkan yang betul. Itulah pengalaman saya sepanjang enam tahun dalam lakonan," katanya.

Kongsi bintang yang bakal muncul dengan filem Langsuir ini, banyak perkara yang tidak dapat dilupakannya sebelum mengecapi populariti seperti hari ini.

"Apa yang terjadi selama ini membentuk diri saya sekarang. Saya tidak memandang segala-galanya negatif, tetapi saya percaya jatuh bangun memberikan kekuatan kepada saya.

"Dulu, nama saya sering ditolak stesen televisyen (TV). Perkara itu berlarutan bukan setahun atau dua, tetapi bertahun-tahun lamanya. Saya faham, ramai yang belum mengenali saya ketika itu... Adat orang belum popular.

"Saya tidak berputus asa, tetapi terus mencari formula bagaimana mahu menempatkan diri setanding pelakon popular lain. Ada seorang hamba Allah berpesan, seorang pelakon seharusnya memastikan gred A dalam lakonan dan sentiasa memberikan komitmen terbaik. Populariti akan datang kemudian. Paling penting, buat kerja dengan ikhlas, bukannya mengejar perkara lain.

"Alhamdulillah, biarpun rentak kerjaya lakonan perlahan, akhirnya saya menuju ke puncak," katanya.

Ujarnya, dia tidak pernah cemburu melihat teman seangkatan seperti Saharul Ridzwan, Fattah Amin, Hafreez Adam dan Hafidz Roshdi yang mampu mengecap kemasyhuran lebih awal.

"Saya mengambil sedikit masa untuk menjadi yang terbaik. Saya tidak iri hati dengan rakan seangkatan lain. Sudah rezeki mereka untuk terus meletup. Rezeki saya pula mungkin berbeza. Biar lambat, asal selamat.

"Saya lebih suka dengan jalan yang saya pilih ini. Saya lebih selesa bergerak perlahan, namun akhirnya sampai ke puncak juga.

"Ketika rakan seangkatan berjaya, saya ada bersama mereka. Apa yang berlaku kepada mereka, segala-galanya di depan mata saya. Mereka juga banyak berkongsi suka duka dengan saya.

"Saya belajar untuk tidak tersilap langkah. Soal nama melonjak naik atau tidak, ia rezeki masing-masing. Cepat atau lambat, semua akan dapat," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post