Super Spontan edisi baharu tampil kelainan


Selepas penganjurannya selama enam tahun berturut-turut, kali ini program realiti permainan lawak spontan, Super Spontan diteruskan sekali lagi memasuki edisi tahun ketujuh. Bagaimanapun, edisi kali ini yang dikenali sebagai Super Spontan Xtravaganza dilihat menjanjikan kandungan yang lebih menarik selain tampil dengan beberapa format baharu.

Jika tahun-tahun sudah, program tersebut meletakkan kuasa mutlak kepada penonton dalam proses pemarkahan, namun pada penganjuran kali ini, ia bakal menyaksikan perubahan format penjurian apabila menetapkan hanya 50 peratus pemarkahan daripada penonton, manakala selebihnya diadili oleh juri tetap yang berpengalaman.

Menurut Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad, pihaknya melihat pembaharuan tersebut mempunyai signifikan tersendiri dalam memastikan kualiti persembahan permainan lawak spontan yang dipentaskan akan menjadi le­bih baik berbanding musim-musim terdahulu.

“Format baharu itu nanti menampilkan Adibah Noor dan Datuk Afdlin Shauki selaku juri tetap yang akan mengadili setiap persembahan peserta.

“Saya percaya, pengalaman luas kedua-dua insan seni itu dan penglibatan mereka dalam pelbagai cabang dunia hiburan dapat dikongsi kepada para peserta dan dimanfaatkan oleh mereka untuk memperbaiki kemahiran dalam persembahan,” katanya.

Dengan format baharu itu, katanya, pihak juri juga mempunyai kuasa penuh untuk memberikan kad imuniti iaitu kelebihan yang menjadikan pemilik kad kebal daripada sebarang penyingkiran kepada mana-mana ahli kumpulan pada bila-bila masa.

Super Spontan Xtravaganza akan dijayakan oleh 16 orang pemain yang terdiri daripada barisan pelawak, pelakon, penyanyi serta selebriti media sosial. Kesemua nanti akan dibentuk menjadi dua buah kumpulan iaitu kumpulan Sotong Kangkung yang membawa imej tukang masak jalanan dan kumpulan Lobster Leleh yang mencerminkan imej tukang masak di hotel.





Kumpulan Sotong Kangkung dianggotai Achey, Shahrol Shiro, Nizam Jentik Jentik, Tauke Jambu, Atu Zero, Izzue Islam, Siti Elizad serta selebriti media sosial, Mode. Sementara itu, kumpulan Lobster Leleh pula dianggotai oleh Fad Bocey, Abam Bocey, Mamak Puteh, Joey, Anas Ridzuan, Zara Zya, Tomok dan Jaa Suzuran

Bukan itu sahaja, tambah Raqim lagi, lebih menarik edisi kali ini juga menampilkan pe­n­yertaan orang awam untuk turut serta dalam gelanggang akhir Super Spontan Xtravaganza.

“Justeru, satu rancangan lain iaitu Spontan Tepi Jalan akan diterbitkan khas untuk mencari dua orang penonton bertuah tersebut bagi menyertai para pemain di pentas final.

“Rancangan berkonsepkan pertandingan permainan spontan ini menyaksikan pengacara, Ali Puteh memilih secara rawak orang awam untuk bermain pelbagai permainan secara spontan.

Setiap minggu akan menyaksikan seorang pemenang. Dua pemain terbaik dalam kalangan mereka akan menempah tempat sebagai peserta bertuah yang akan bersama-sama para finalis Super Spontan Xtravaganza di pentas akhir,” katanya yang memberitahu, juara bakal membawa pulang wang tunai RM100,000.

Program yang bersiaran secara langsung dari Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor pada setiap hari Jumaat pada pukul 10 malam itu boleh ditonton menerusi saluran Astro Warna selama 10 minggu yang sudah memulakan ­siaran sulungnya kelmarin.

Post a Comment

Previous Post Next Post