Diana Danielle, Ibu dan Farid semakin serasi


Tika ini Datin Diana Danielle mengusung penampilan dan pemikiran berbeza.

Biar masa silih berganti, pesona yang dimiliki aktres yang sudah lebih 10 tahun berdampingan dengan arena lakonan itu tidak pernah pudar.

Maka, menggalas peranan utama yang bercirikan antagonis, tanpa hero atau watak protagonis untuk memberikan warna dalam drama Raisha, itu bukan satu perkara yang kepalang buat pelakon berusia 27 tahun itu.

Ironinya, ia sudah cukup untuk membuatkan drama Raisha yang bakal muncul dengan sekuelnya pada 10 Oktober nanti, begitu eksklusif nilainya.

Sebagai wanita dan juga isteri yang tidak puas dengan apa adanya, Diana berjaya menterjemahkan karakter antagonis lakonannya menerusi drama Raisha yang pernah disiarkan di Tonton dan kemudiannya slot Lestari, TV3 pada September 2017.

Malah, drama yang mengangkat watak antagonis sebagai tunjang utama itu ternyata disukai banyak orang yang barangkali lelah dengan lambakan drama cinta melankolik di skrin TV.

Miliki sedikit sikap Raisha

Tersenyum sendiri saat disuakan kejayaan watak Raisha, aktres berdarah kacukan, Melayu dan Inggeris itu bersyukur dengan adaptasi selera penonton terhadap Raisha.

“Agak sensitif nak bercerita secara mendalam mengenai watak Raisha. Ini kerana, lelaki dalam kehidupan Raisha, seperti menukar baju. Watak sebegitu boleh kita kaitkan dengan kehidupan sebenar segelintir wanita yang adab dan akhlak semakin tersasar akibat nafsu,” ulas Diana secara diplomasi mengenai watak Raisha lakonannya yang mana drama Raisha 2 bakal menemui penonton dengan jalan cerita yang lebih dramatik.





Menjelmakan watak untuk drama Raisha 2, ada garisan seimbang yang perlu diambil Diana. Pada mata kasar Raisha, seorang wanita yang layak dibenci, namun pada masa sama, dia tidak mahu watak lakonannya memualkan dan menjelikkan penonton.

“Untuk Raisha 2, ia bukan lagi tentang isu anak dan ayah tetapi lebih kepada isu seorang wanita yang tidak mahu mengubah cara kehidupannya walaupun sudah berkahwin dan mempunyai anak.

“Saya cuba melakonkan watak Raisha sebagai wanita yang bicaranya sinis, namun perlakuannya tidak terlalu menjengkelkan. Maka disebabkan itu penonton masih menerima dan menyayangi Raisha kerana dia mahu berubah, tetapi self control dalam diri itu lemah,” luah Diana yang mengaku memiliki sedikit daripada sikap Raisha.

Tanpa perlu risau pandangan orang, kata Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-29 itu sambil memecahkan tawa: “Sejujurnya, saya juga memiliki sedikit daripada sikap Raisha seperti baran dan kadangkala menjengkelkan.”

Farid, ibu berbaik

Sebagai isteri kepada aktor popular Datuk Farid Kamil pula, gelora rumah tangganya juga sering menjadi bahan bicara.

Pernah, untuk cuba mengambil langkah bungkam daripada berbicara tentang isu peribadi, namun kini Diana lebih terbuka memberi jawapan dan jawapan yang diberi juga ibarat air tenang yang mengalir dari taman hatinya.

“Dia (Farid) tidak pernah masuk campur mengenai kerja saya. Dia juga kenal saya macam mana. Sejujurnya, saya seorang yang tidak boleh duduk diam dan meletakkan kerja sebagai salah satu keutamaan dalam hidup. Dia pula jenis yang lebih suka duduk di rumah lama selepas menyelesaikan sesuatu projek. Alhamdulillah dapat suami yang berbeza daripada kita. Perbezaan itu yang membuatkan kami serasi dan selesa bersamanya,” ujarnya yang mendedahkan karier seninya kini diuruskan oleh ibunya, Norsiah Ramli.

Diselak sanubarinya tentang hubungan ibu bersama suaminya, Diana mula menguntumkan senyuman lega.

“Alhamdulillah, berkat kesabaran semua orang. Dengan kehadiran Muhammad dan Aurora, ibu dan Farid kini semakin serasi antara satu sama lain.

Masing-masing menerima kelemahan dan kelebihan. Apa yang penting apabila kita menerima orang lain sebagai famili. Maka baik buruk sesuatu sudah dianggap lumrah,” luah Diana yang mengaku momen tersebut menjadi antara detik paling manis berlaku dalam hidupnya.

Menyentuh mengenai karier nyanyian pula, ternyata ia masih tidak bertepi dalam kembara seni Diana.

Terbaharu, dia bakal muncul menerusi single duet bersama Reyza Hamizan yang berjudul Infiniti.

Belajar dan menyanyi

Mengakui pada mulanya, bidang nyanyian dilakukan sekadar suka-suka, namun Diana tidak menyangka lagu tersebut mempunyai daya tarikan untuk dipasarkan.

“Ketika rakam lagu tersebut, saya berasakan ia ada potensi. Jadi, apa salahnya ia diperdengarkan kepada khalayak. Saya baru habis rakam muzik videonya. Insya-Allah tak lama lagi lagu berentak balada itu akan dipasarkan,” jelasnya yang turut mendedahkan kini sedang mengikuti pengajian Diploma Pengurusan Perniagaan secara online menerusi Kolej Segi.

Melakukan banyak perkara yang menjadi minatnya, itu tidak bermakna ibu kepada Muhammad, 5, dan Nur Aurora, 3, tamak dan tidak mempunyai masa bersama keluarga.

“Alhamdulillah, saya mempunyai pengurus yang bagus menyusun jadual seni saya. Seronok apabila ibu sendiri yang menguruskan jadual seni kerana dia faham dan tahu memberikan yang terbaik untuk saya.

“Dia akan pastikan yang saya ada masa untuk diri dan keluarga,” ujarnya yang memberitahu ibunya turut mempunyai syarikat pengurusan acara dan disebabkan itu dia menyambung pengajian dalam bidang perniagaan.

Menyambung bicaranya, dia takut jika satu hari nanti dia perlu mengambil alih perniagaan ibunya dan ketika itu dia masih belum bersedia.

Maka dengan memperlengkapkan diri dalam bidang berkenaan sedikit sebanyak, dia mampu membantu ibunya kelak.

Post a Comment

Previous Post Next Post