Delimawati tidak tolak jodoh muda


Mencecah usia jubli intan, untuk menyebut perkataan jodoh itu sahaja sudah bikin hati Delimawati tersedik malu.

Namun, pelakon yang popular dengan watak Kak Limah itu tidak menolak andai satu hari nanti jodoh kali ketiga berjaya mengetuk pintu hatinya selepas dua kali berkahwin dan lapan tahun lebih menjanda.

“Siapa tidak mahu untuk bertemu jodoh, tambahan pula anak-anak sudah besar. Terfikir juga jika kesemua anak sudah ada kehidupan sendiri dan saya pula keseorangan.

“Jadi, kalau ada jodoh Allah bagi saya terima, namun untuk mencari itu tidak,” ujarnya yang enggan dilabel perigi mencari timba.

Ditebak andai lelaki yang hadir dalam hidupnya berusia lebih muda daripadanya, Delimawati turut tidak menolak jika itu yang telah ditentukan Tuhan.

Selama tiga dekad berada dalam industri seni dan melarutkan jiwa penonton dengan lakonan komedinya menerusi filem Hantu Kak Limah Balik Rumah dan telefilem Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Komanwel pada 1998, Delimawati mengaku lakonan adalah minatnya.

Maka disebabkan itu, sehingga kini dia mengharapkan tawaran tidak akan putus dan menerima variasi watak selain hantu.

Bagaimanapun, Delimawati bersyukur, watak Kak Limah dalam filem terbaharu, Hantu Kak Limah, dia disolek cantik dan tidak semata-mata menjadi hantu atau orang gila.





“Dalam Hantu Kak Limah Balik Rumah, watak Kak Limah disolek hodoh dan rambut juga berjerabai demi menampakkan dia seperti hantu.

“Namun, untuk filem Hantu Kak Limah terbaharu ini, orang sedia maklum yang Kak Limah itu bukan hantu tetapi gila. Maka selepas diubati, Kak Limah kembali sihat dan jatuh cinta dengan salah seorang sahabat Husin iaitu Khuda. Sekurang-kurangnya watak Kak Limah kali ini dicantikkan,” ujarnya sambil tertawa mengenai watak Kak Limah yang bakal muncul menerusi sekuel terbaharunya pada 9 Ogos itu nanti.

Berkongsi cabaran membawa watak Kak Limah kali ini, Delimawati mengaku banyak babak aksi yang dilakukannya sendiri tanpa bantuan stuntman atau pelakon lagak ngeri.

“Banyak babak bergantung atas tali yang terpaksa dilakukan saya. Salah satu daripadanya adalah babak saya cuba menghempap Awie yang membawakan watak Husin. Memang seksa betul apabila badan kita bergantung pada tali, namun saya gagahkan juga menjayakan babak tersebut.

“Lagi satu saya kena menjayakan babak bersilat dengan Zul Ariffin yang membawakan watak cikgu silat,” jelasnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post