Datuk Seri Siti Nurhaliza melancarkan produk terbaharu SimplySiti iaitu Kosmetik Gold Edition.
Penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin mengambil nasihat suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa agar tidak kerap memuat naik gambar anak perempuan mereka, Siti Aafiyah di Instagram.
Siti, 39, berkata, pesanan itu dibuat kerana bimbang Aafiyah akan menjadi sasaran netizen yang tidak senang akan keadaan itu yang pada akhirnya akan menjadi bahan umpatan.
"Sebelum ini pun ada yang meninggalkan komen berbaur negatif... Jadi bagi mengelak perkara sama berulang, suami berpesan agar tidak tidak terlalu kerap memuat naik gambar Aafiyah di Instagram.
"Bimbang nanti orang mengata selain tidak mahu dia menjadi sasaran segelintir netizen yang tidak berpuas hati," katanya.
Siti ditemui pada majlis pelancaran produk terbaharu SimplySiti iaitu Kosmetik Gold Edition yang diadakan di Menara KL, Isnin.
Siti bersama Aafiyah yang kini berusia empat bulan.
Dalam pada itu, Siti memberitahu tidak teragak-agak untuk menyekat pengikutnya di laman sosial itu yang meninggalkan komen negatif kepadanya.
Kata Siti, dia berbuat demikian kerana ingin mengelak daripada keadaan itu akan menimbulkan fitnah selain perbalahan dalam kalangan pengikutnya.
"Mana teguran yang baik dan membina saya ambil tetapi kalau sampai tahap melampau memang saya akan sekat akaun mereka kerana tidak mahu ada aura negatif dalam Instagram saya.
"Komen yang negatif dan melampaui batas sebenarnya sudah menggambarkan niat sebenar seseorang itu jadi daripada timbul perkara tidak baik lain, lebih baik saya sekat," ujarnya.
Baru-baru ini, Siti pernah dikritik netizen yang menyelar tindakannya membernarkan Aafiyah berenang menggunakan pelampung pada bahagian leher.
Siti tidak teragak-agak menyekat pengikut di Instagram yang meninggalkan komen negatif.
Penyanyi lagu Cindai itu memuat naik video aksi anak perempuannya itu di sebuah spa kanak-kanak.
Dalam perkembangan lain, Siti berkata, dia sedang dalam peringkat perbincangan dengan rakan niaga di Indonesia bagi memasarkan produk SimplySiti di negara itu.
Siti berkata, dia berharap perancangan itu bakal terlaksana kerana sudah lama memasang impian untuk membawa produknya itu ke luar negara.
"Insya-Allah, saya sedang berbincang dengan rakan perniagaan di Indonesia dan sekiranya semua perancangan berjalan lancar ia pasti terlaksana.
"Memang menjadi cita-cita saya untuk melihat produk SimplySiti memasuki pasaran Indonesia dan berharap bersempena ulangtahun kelapan jenama ini, ia bakal terlaksana," katanya.