Bertemu dengan pelakon Syura Badron ketika Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Serumpun Artis di Shah Alam, Selangor baru-baru ini mencetuskan rasa kaget apabila melihat susuk tubuhnya yang kelihatan begitu kurus.
Hendak dikatakan sakit, pemilik nama Zuraidah Badron, 33, itu kelihatan aktif beraksi di atas pentas menyanyikan lagu Lagi Syantik, nyanyian asal Siti Badriah.
Usai persembahan, wanita berusia 33 tahun itu didekati bagi mendapatkan perkembangan terkini diri dan kerjayanya selepas tamat pertandingan Gegar Vaganza tahun lalu.
KOSMO!: Kenapa Syura kelihatan terlalu kurus?
SYURA: Saya akui kini ramai orang tidak mengenali saya. Saya tidak tahu mengapa ia boleh terjadi kerana tidak pernah bercadang untuk kurus seperti sekarang. Ketika anak dara pun saya tidak kurus seperti ini. Biarpun nampak seperti orang sakit tetapi sebenarnya berat 49 kilogram ini merupakan berat badan yang ideal buat saya.
Adakah ia berkaitan dengan penyakit misteri yang pernah dikaitkan dengan anda akhir tahun lalu?
Tidak juga sebab saya memang diet. Lebih-lebih lagi apabila saya menyertai pertandingan Gegar Vaganza musim keempat tahun lalu. Mungkin disebabkan jadual yang sibuk ia membuatkan badan saya lagi mudah untuk kurus.
Dengan keadaan sekarang, adakah anda merancang untuk menaikkan sedikit berat badan?
Memang ada kerana selera makan saya semakin menjadi-jadi sekarang. Bagaimanapun, berat ini masih kekal tidak naik atau berkurang. Saya rasa disebabkan pengamalan diet yang betul dan pengambilan makanan tambahan membuatkan berat kekal seperti ini.
Apabila sudah berpenampilan baharu ini bagaimana perjalanan seni anda, adakah ia lebih menyinar?
Mahu dikatakan bersinar tidak juga sebenarnya tetapi disebabkan pelbagai platform yang ada dan nyata berbeza dengan dahulu membuatkan saya rasa ia suatu perubahan yang lain.
Sejujurnya memang mengambil masa untuk menyesuaikan keadaan dahulu dan sekarang, namun ia sedikit pun tidak membuatkan saya berputus asa.
Alhamdulillah, saya juga sudah mula masuk ke bidang lakonan apabila ditawarkan membawakan watak dalam drama di Astro Warna.
Sememangnya ini yang saya mahu iaitu aktif dalam semua bidang seni seperti nyanyian, lakonan dan pengacaraan. Maklumlah sebelum ini semasa bersama bekas suami, aktiviti seni saya sedikit terbatas disebabkan menetap di Johor, namun kini saya harap aktiviti seni lebih dipermudahkan.
Hampir lima tahun bergelar ibu tunggal, mungkin ada perancangan untuk menamatkan zaman solo ini?
Sedar tak sedar memang sudah lima tahun bergelar ibu tunggal, dan saya juga sudah membiasakan diri dengan situasi sekarang. Bohong jika saya kata tiada yang mendekati, namun biarlah saya fokus dalam kerjaya terlebih dahulu.
Boleh kongsikan perkembangan terkini dalam kerjaya anda?
Saya baru menyiapkan single baharu hasil ciptaan sendiri. Saya pun tidak menyangka dapat menghasilkan lagu sendiri sebab dahulu pernah bercakap dengan diri yang sampai bila-bila pun tidak akan pernah buat lagu.
Kebetulan saya minta Zimi yang menjadi produser single ini untuk menghasilkan melodi reggaeton, dan dia meminta saya untuk menghasilkan liriknya. Bagaimanapun, reggaeton ini hanya pada rentaknya sahaja tetapi ia kuat dalam nuansa pop.
Saya sendiri terkejut kerana dalam setengah jam sudah siap liriknya. Lirik ini berkenaan sikap ego yang berlaku dalam pasangan yang bercinta.
Mengapa memilih reggaeton sedangkan sebelum ini anda lebih dikenali sebagai penyanyi lagu balada?
Ketika dalam Gegar Vaganza, saya membawakan lagu balada kelihatan seperti biasa tetapi apabila saya menyanyikan lagu pop, sambutan penonton jadi lain.
Saya juga pernah dinasihatkan oleh Datuk Ramli MS agar saya cuba membuat kelainan dalam kerjaya.
Sekarang lagu sudah siap, cuma saya sedang mencari penerbit dan dijangka akan keluar pada bulan Ogos depan.