Kerjasama Johan dan Zizan Razak bakal bersiaran selama 40 minggu bersama Pengurus Saluran Astro Warna, Norzeha Mohd. Salleh.
Apabila bercakap tentang Jozan, tidak lain tidak bukan peminat membayangkan gandingan duo pelawak popular, Johan dan Zizan.
Masakan tidak, cetusan ‘kimia’ antara dua lelaki itu sentiasa membuatkan penonton pecah perut dengan lawak spontan dan aksi bersahaja mereka.
Mengimbau kembali perjalanan, Johan dan Zizan yang mula membina nama menerusi rancangan Raja Lawak musim pertama pada tahun 2007 terus meledak apabila bergabung menerusi Jozan Show pada tahun 2009.
Ternyata, keserasian mereka begitu menjadi sehingga diangkat sebagai juara Maharaja Lawak Mega pada tahun 2012.
Masa bergulir, tempoh enam tahun peminat merindukan lawak-lawak Jozan kini menemui jalan penamat apabila Astro Warna menerusi slot baharu, Lawak Live menampilkan program baharu berjudul Jozan.
Menemui penonton bermula pada 24 Julai lalu, setiap hari Selasa, lebih istimewa rancangan secara langsung yang bermula pada pukul 10 malam tersebut menampilkan Johan dan Zizan sebagai pengacara.
Tersenyum saat ditanya berkenaan gabungan yang begitu dinantikan seluruh peminat Jozan, kongsi Johan, konsep dan idea program berkenaan membuatkan dia tidak mengambil masa lama untuk menerima tawaran Astro.
“Selepas menyusun semula jadual harian, saya rasa begitu tertarik dengan konsep Jozan yang tampil dengan segmen berbeza pada setiap minggu.
“Saya akui sudah selesa bergelar penyampai radio tetapi apa salahnya muncul di kaca televisyen sekali dalam seminggu,” kata Johan semasa sidang akhbar Jozan di Avenue K, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menjanjikan sebanyak 22 segmen yang akan bertukar-tukar sepanjang 40 minggu, tambah Johan, antara segmen menarik dalam Jozan adalah Perang Jantina, Kita Ke Mahkamah, Lip Sync Battle dan Bakat Ke Laut.
Johan bagaimanapun tidak melihat tempoh 40 minggu untuk bersiaran secara langsung sebagai suatu bebanan, malah dia menyifatkan komitmen jangka panjang sebegitu lebih menjamin kerjayanya.
“Tempoh ini terlalu lama, namun ia berbaloi dengan kerja saya apabila sesekali muncul di televisyen. Saya sentiasa berpegang kepada konsep, kalau hendak buat, biar buat sampai habis.
“Tambahan pula, tempoh yang panjang ini lebih terjamin di samping ia dapat memberikan saya dan Zizan masa untuk memperbaiki kelemahan,” katanya yang pernah menolak undangan sebagai tetamu dalam rancangan Opera Van Java kerana dipanggil untuk satu episod sahaja.
Panduan
Rancak berbicara, Johan kemudian diajak menyentuh soal garis panduan yang perlu dipatuhi semasa mengendalikan rancangan secara langsung itu, lebih-lebih lagi apabila gabungan mereka yang kadangkala ‘sukar dikawal’.
Jawab pemenang kategori Artis Lawak MeleTOP 2017 itu, mereka berdua sudah jauh lebih matang dan arif tentang hal yang boleh dilakukan atau tidak sebaik sahaja beraksi di hadapan kamera.
“Sebenarnya begini, apabila sudah masuk dalam kamera, kita ada garis panduan yang perlu diikuti. Seperti di radio, terdapat seorang editor yang akan menyunting program sekiranya terkeluar perkataan seperti mencarut.
“Pada kebiasaannya kita memang tidak akan mencarut sebab tidak mahu menyusahkan editor dan perkara sama juga akan diaplikasikan di televisyen.
“Biarpun secara langsung tetapi siaran Jozan akan dilambatkan lima minit sebelum bersiaran,” terangnya panjang lebar.
Berkongsi perkembangan terkini, Johan sempat diusik dengan penampilan terkini yang kelihatan lebih kurus berbanding dahulu.
Kongsi bapa kepada lima orang cahaya mata itu, dia berjaya menurunkan berat badannya daripada 95 kilogram (kg) kepada 73kg dalam masa dua bulan dengan cara senaman kardio.
“Setiap hari saya akan menjadikan larian sebagai rutin selepas pulang dari konti radio. Saya juga akan berhenti makan selepas pukul 5 petang dan hanya mengambil minuman pada sebelah malam.
“Kesedaran untuk menurunkan berat badan ini adalah kerana saya sayangkan keluarga. Jika saya sakit, apa akan berlaku kepada isteri dan anak-anak. Jadi, sudah tiba masanya untuk saya fikirkan tentang mereka,” tuturnya.
Jadi diri sendiri
Sementara itu, bagi Zizan Razak pula, tawaran Astro untuk mengendalikan Jozan diterima disebabkan kerinduan untuk bekerjasama bersama rakan baiknya dan pasukan produksi saluran swasta itu.
“Sejak sibuk menerima tawaran berlakon, saya akui sudah lama tidak mempunyai rancangan bersama Astro dan rindu untuk bergabung bersama Johan.
“Saya juga sudah berjanji kepada peminat sejak beberapa tahun yang lalu bahawa Jozan pasti akan kembali suatu hari nanti, jadi inilah jawapan kepada janji kami dahulu,” kata Zizan.
Bercerita soal mengendalikan program komedi yang adakalanya mempunyai risiko lawak tidak boleh diterima penonton, kongsi pelakon Abang Long Fadil itu, susah untuk memuaskan hati semua pihak.
“Susah sebenarnya mahu menggembirakan hati semua orang. Kadangkala lawak yang kita beri itu tidak membawa sebarang maksud, namun tetap akan disalah anggap oleh orang lain.
“Hendak dikatakan Jozan akan berhati-hati dalam berlawak itu tidaklah, cuma saya akan menjadi diri sendiri. Bagaimanapun, tidak salah untuk merujuk kepada orang lain sebelum menyentuh sesuatu perkara itu.
“Lagi pun buat apa mahu menyentuh isu sensitif seperti agama dan politik kerana banyak lagi perkara yang boleh dijadikan bahan lawak.
“Paling utama adalah kami ingin membuatkan penonton terhibur,” katanya yang tidak gemar membuat latihan sebelum rancangan disiarkan kerana akan mengurangkan aksi spontan.
Bercerita perkembangan terkini, Zizan berkata, dia baru selesai penggambaran filem Peluang Ke Duda bersama pelakon Indonesia, Raffi Ahmad.
Tambah lelaki berusia 34 tahun itu lagi, dia bersyukur kerana mula meluaskan radius seninya sehingga ke Indonesia.
“Peluang Ke Duda merupakan filem pertama saya bersama produksi Indonesia iaitu Rapi Pictures milik Raffi Ahmad.
“Jika tiada halangan, pada Ogos pula saya akan memulakan penggambaran siri drama lapan episod berjudul Penggal Puisi bersama beberapa pelakon Indonesia seperti Christine Hakim dan Paramitha Rusady.
“Jika difikirkan memang agak gementar untuk berdiri sebaris dengan nama-nama besar ini, namun jika saya menolak, bila lagi tawaran keemasan ini akan datang kepada saya,” katanya menutup bicara.
Enam tahun Johan dan Zizan mengemudi kanvas seni masing-masing, kini gandingan duo pelawak popular dengan gelaran Jozan itu kembali menggeletek hati peminat dalam versi yang lebih matang.