Maya Ruslee masih tidak mahu mendedahkan nama dan latar belakang lelaki berstatus bujang yang kini berkawan rapat dengannya. Jika ada jodoh, mereka yang sedang mengenali hati budi mahu membawa hubungan ke fasa perkahwinan.
SUDAH dua tahun hidup solo, penyanyi Mya Matahari mendedahkan sedang mengenali hati budi seorang lelaki berstatus bujang. Perkara tersebut didedahkan pelantun lagu Mahatari itu ketika menghadiri majlis rumah terbuka penyanyi Haiza baru-baru ini.
Bagaimanapun, Mya atau nama sebenarnya, Meyanaliza Ruslee berkata, ketika ini tidak banyak yang boleh dikongsi mengenai identiti jejaka itu, memandangkan usia perkenalan mereka masih terlalu awal.
“Saya minta semua pihak mendoakan jodoh yang baik buat saya. Saya mengharapkan jodoh kali ini lebih baik daripada sebelumnya. Dia orang biasa dan kami masih dalam proses mengenal hati budi masing-masing.
“Restu ibu juga sangat penting supaya perjalanan rumah tangga diberkati. Cara dia melayan keluarga juga antara perkara yang saya lihat.
“Selain itu, penerimaan keluarga pihak lelaki juga penting kerana saya berharap, jodoh kali ini akan kekal hingga ke akhir hayat,” jelas Mya tanpa mahu memperincikan identiti atau nama lelaki yang mencuri hatinya.
Bertudung
Ketika diajukan pertanyaan mengenai imej bertudung sebagai tanda awal dia sudah bersedia untuk kembali ke alam rumah tangga, Mya menafikan perkara tersebut.
“Saya bertudung bukan sebab ingin berkahwin. Sebenarnya, sudah lama pasang hasrat untuk bertudung dan entah bagaimana pada bulan Ramadan lalu, Tuhan bukakan hati saya untuk menutup aurat dengan lebih sempurna sehingga ke hari ini,” tutur Mya yang mengucapkan terima kasih kepada peminat kerana banyak memberikan suntikan semangat untuk dirinya terus beristiqamah memakai tudung.
“Peminat banyak memberikan kata-kata semangat kepada saya di media sosial dan di situ saya mendapat kekuatan untuk terus bertudung. Ada juga kata saya lebih elok tidak bertudung, namun itu tidak mematahkan semangat saya.
“Sudah lama pasang hasrat untuk bertudung sebenarnya, namun sebelum hasrat agak ‘bergoyang’. Alhamdulillah, bermula dengan usaha berjinak-jinak dan sampai sekarang saya berasa amat selesa,” tambahnya.
Terus rancak bercerita, wanita berusia 42 tahun itu berkongsi pula tentang single baharunya berjudul Perlu Ada Setia yang mengambil inspirasi daripada lagu Matahari, namun dengan susunan muzik lebih segar.
Empat tahun senyap tanpa sebarang karya, tambah Mya, dia turut mengambil masa selama lima bulan untuk menghasilkan single berkenaan. Hasilnya, dia benar-benar berpuas hati dengan lagu ciptaan Tam Spider dan lirik ditulis oleh Imran Imran tersebut.
“Untuk menghasilkan sesebuah single baharu bukan satu kerja mudah. Mungkin sebelum ini belum berjodoh untuk dipertemukan dengan karya yang memuaskan hati tetapi setelah berbincang dengan orang kuat Indigital Music dan mereka memilih Tam untuk menghasilkan lagu saya.
“Saya tahu setiap komposer mempunyai koleksi lagu yang bagus, namun saya perlu mencari karya yang benar-benar bersesuaian dengan konsep, umur, suara dan penampilan saya.
“Saya pernah gagal dalam karya sebelum ini, jadi tak mahu ia berulang lagi,” katanya yang berharap single baharu kelak diterima peminat seperti lagu Matahari.