
Setiap orang di dunia pasti akan melalui fasa kehilangan orang tercinta yang dijemput menemui Pencipta di negeri abadi. Bersedia atau tidak, itulah lumrah kehidupan. Tidak akan ada seorang pun manusia akan terlepas daripada terma ajal dan maut. Semuanya milik Allah Yang Esa.
Bagi penyanyi Akim Ahmad yang telah pun melalui pengalaman kehilangan, ada rasa yang tidak dapat disembunyikannya sehingga ke hari ini meskipun takdir Tuhan telah menjemput pulang ibu tercinta, Aminah Bahari pada tanggal 5 Mei lalu.
Akui penyanyi berusia 27, itu, peristiwa tersebut merupakan pengalaman kehilangan orang tersayang yang pertama dalam hidupnya. Ia sekali gus meninggalkan kesan mendalam yang payah terhakis.
“Ibulah sumber kekuatan saya selama ini. Keberadaan saya dalam industri pun sebenarnya berkat doanya. Segala apa yang saya lakukan selama ini hanya untuk dia. Kalau tiada paksaan daripada ibu, mungkin saya tiada di tempat ini sekarang.
“Tanpa doanya, saya kosong dan tiada daya untuk melangkah lebih jauh. Jujurnya, saya berasa sunyi selepas ibu tiada,” kata Akim meluah perasaan.
Akim ditemui pada majlis pelancaran Toyota Gazoo Season 2 baru-baru ini yang menyaksikan dirinya terpilih menyertai program lumba kereta tersebut untuk musim kedua di samping beberapa selebriti lain seperti Diana Danielle, Janna Nick, Nabila Razali, Nabil Ahmad, Shukri Yahaya, Wany Hasrita, Aiman Tino, Shawn Lee dan Khai Bahar.
Semangat
Mengakui mengambil masa lebih sebulan untuk kembali bangkit melawan perasaan, komposer muda yang menggunakan nama Hang Nadim itu berkata, nasihat terakhir yang diucapkan arwah ibu menjadi pembakar semangat melalui hari-hari suram.
“Ibu pesan, kalau jadi anak lelaki kena kuat. Kata-kata itu yang membuatkan saya berfikir bahawa hidup perlu diteruskan. Saya perlu ingat ada komitmen dalam hidup sebagai seorang yang sudah berkeluarga. Lagipun, tidak elok jika terlalu lama menangisi atau mengenangkan orang yang sudah tiada,” katanya.
Selain nasihat ibu, perkara paling menyentuh jiwa lelaki Akim adalah ketika melihat wajah tua ayahnya yang sebenarnya lebih terkesan atas kehilangan si ibu.
Menghabiskan masa selama 36 tahun bersama sebagai suami isteri, pemilik nama sebenar Afiq Hakim Ahmad itu sedar ia adalah kehilangan terbesar yang sedang dilalui ayahnya ketika ini sementelah neneknya iaitu ibu kepada ayahnya turut pulang menghadap pencipta beberapa minggu selepas pemergian ibunya.
“Ayah menghabiskan lebih banyak hidupnya bersama ibu, jadi saya faham sangat kalau dialah sebenarnya orang yang paling sedih berbanding kami adik-beradik.
“Sebagai anak, menjadi tugas saya untuk menyuntik semangat dan memberi sokongan moral buat ayah supaya dia tenang serta tidak terlalu memikirkan ibu,” katanya sambil menambah kehadiran cucu-cucu sedikit sebanyak membantu meredakan kesedihan dialami ayahnya.
Saat berdepan kehilangan paling besar itu juga, satu hal yang menarik perhatian peminat adalah penampilan baharu Akim yang berambut pendek memandangkan sebelum ini dia mewarnakan rambutnya dengan warna perang keemasan selain tidak pernah tampil dengan imej sebegitu.
Air mukanya sedikit berubah dan seakan-akan berkira-kira sebelum menjawab persoalan berkenaan. Barangkali, masih ada perasaan sedih yang melingkari relung hatinya saat persoalan tentang ibu disuakan ke muka.
“Saya potong rambut pendek ini sehari sebelum arwah ibu pergi. Niat saya cuma satu, mahu ibu nampak keseluruhan wajah saya, mata, hidung, mulut dan semuanya.
“Sebab itu adalah kali terakhir dia lihat wajah saya. Jadi saya berharap biarlah arwah akan pergi dengan dapat mengingati wajah anak-anaknya dengan baik. Setidaknya ia dapat melepaskan rindu,” jawab Akim dalam nada tersekat-sekat.
Kejutan
Mengalih perhatian yang masih bersarang dengan isu kehilangan, perbualan pada pertemuan tersebut dihalakan ke arah perkembangan kariernya.
Kongsi penyanyi kelahiran Johor Bahru, Johor itu, dia bakal muncul dengan sebuah single bersama kumpulan Akim & The Majistret berjudul Rampas yang akan memasuki pasaran menjelang Ogos depan.
Kongsi Akim tentang lagu yang sudah siap dirakam tersebut, ia memiliki sedikit kelainan berbanding single terdahulu, Stereotype dari segi melodi.
“Kalau lagu Stereotype melodinya bermula daripada tahap sederhana menjadi laju, tetapi kali ini kami ambil pendekatan seimbang, ia di tengah-tengah di antara sederhana dan laju .
“Istimewanya untuk lagu Rampas, kami suntik elemen kelainan yang pastinya ditunggu-tunggu oleh peminat sama seperti lagu Potret dan Mewangi. Harap lagu ini akan mendapat tempat dalam hati peminat,” katanya yang menambah lagu tersebut akan dilancarkan berserta sebuah klip video.
Ditanya tentang perancangan lagu duet bersama isterinya Stacy sebagaimana yang pernah disuarakan beberapa bulan lalu, Akim berkata, buat masa ini perkara tersebut terpaksa ditolak ke tepi memandangkan masing-masing sedang sibuk dengan kerjaya sendiri.
Kongsi bapa kepada dua cahaya mata itu lagi, Stacy kini sibuk dengan aktiviti menulis lirik dan bakal menghasilkan sebuah single baharu tidak lama lagi.
“Perancangan untuk lagu duet memang ada cuma masa tidak begitu sesuai kerana Stacy sedang seronok menulis lirik. Sejak cuba menulis, dia jadi makin suka. Tidak dinafikan Stacy ada bakat tetapi kadangkala ada juga dia meminta bantuan dan tunjuk ajar daripada saya,” katanya menutup perbualan.