Awal Ashaari sistem sokongan Scha Alyahya


Awal, Scha dan anak mereka, Lara memperoleh sebahagian sumber pendapatan dengan menjadi duta produk.

Bertemu dengan selebriti popular, Scha Alyahya pada majlis rumah terbuka Schawalara di Dewan D’Lavender, Bukit Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini, ada beberapa perkara yang diluahkan oleh selebriti itu. Kebanyakannya berhubung survivalnya dalam persada hiburan tanah air.

Menurut Scha atau nama lengkapnya, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya, 35, dia menjaga nama baik serta perilaku sebagai seorang selebriti bukan hanya demi meneruskan kemaraan sebagai pelakon mahupun pengacara, bahkan tanggungjawab sebagai duta produk.

“Saya bermula dalam industri sebagai pelakon iklan dan kemudian mula berlakon. Saya akui punca utama pendapatan saya adalah melalui komitmen sebagai duta produk.

“Oleh itu, apa yang boleh saya kongsikan untuk meneruskan prestasi baik dan mendapat kepercayaan daripada syarikat-syarikat besar, kita perlu sentiasa berlaku jujur kepada diri sendiri.

“Maksud saya, tidak usah terlalu mencuba untuk membuat semua perkara. Tumpukan fokus pada hal-hal yang mampu dibawa atau dijaga dengan baik. Dengan itu, tawaran dan kepercayaan akan datang dengan sendirinya,” jelas pelakon yang cukup popular dengan drama Awan Dania itu.





Relevan

Ditanya bagaimana selepas 12 tahun berada dalam industri, dia masih kekal relevan, Scha berkata, dia banyak belajar banyak perkara dan bersabar dengan kritikan yang datang.

“Sebagai seorang selebriti, kita memang tidak boleh lari daripada kritikan. Kalau kita marah pun, orang boleh nampak tetapi kita perlu mengawal sesuatu keadaan daripada terus meleret.

“Dahulu, saya mudah melatah apabila orang kritik. Saya akan luahkan perasaan di Twitter namun selepas itu saya sedar, banyak perkara lain yang perlu diberi perhatian selain kritikan daripada orang ramai. Memang dalam industri, kita tidak boleh buat semua orang suka kita,” jelasnya.

Melanjutkan bicara, Scha mendedahkan, suaminya, Awal Ashaari yang lebih gemar mempertahankan dirinya andai sesuatu isu timbul. Baginya, Awal seorang yang beremosi dan amat protektif sebagai seorang suami dan bapa.

“Kalau orang cakap sedikit tentang saya, Awal yang akan lebih ‘ke depan’. Itu adalah sifatnya dan dia kadang-kadang boleh jadi lebih sinis daripada saya.

“Adakala, saya sudah okey dengan sesuatu kritikan tetapi masih tidak puas hati dan saya boleh rasakan aura itu melalui kenyataannya di media sosial seperti di Instagram,” kata Scha.

Filem seram

Mengulas tentang perkembangan seni terbaharu, selain filem Bikin Filem, Scha sedang menanti projek filem seram yang bakal memulakan penggambaran di Indonesia hujung tahun nanti.

“Filem ini adalah produksi tempatan dan ia sebuah filem seram. Sudah lama tidak berlakon filem seram selepas kali terakhir terbabit dalam Histeria.

“Apapun, sedang tunggu kata putus daripada pelakon hebat Nabila Huda untuk bersama-sama berlakon dalam filem ini dan saya akan berada di Indonesia selama sebulan untuk penggambaran,” kongsinya.

Post a Comment

Previous Post Next Post