Mamat Khalid jahanamkan Awie


Wira muzik bernama Awie sedang bersiap siaga dengan senjata baharu bagi memberi nafas pada kemunculan lagu-lagu untuk kumpulan Wings tidak lama lagi.

Sudah tentu paluan muzik Wings nanti bakal memberi nuansa berbeza buat peminat kumpulan gergasi itu, namun bak kata Awie, ‘bunyi’ Wings tidak akan hilang supaya impak dan momentum rasa itu tetap dapat menerobos hati pendengar.

“Trademark Wings tetap ada pada lagu-lagu baharu nanti. Cuma, lebih 30 tahun berada dalam industri muzik, Wings perlu tampil dengan sesuatu yang lebih segar termasuk konsep pakaian dan penampilan pada album kami nanti,” ujarnya yang enggan terlalu mendedahkan butiran lanjut mengenai projek album terbaharu Wings.

Pada masa sama, penyanyi berusia 50 tahun itu juga mendedahkan, beliau sudah mempersiapkan diri untuk tiga konsert Wings yang akan berlangsung pada Oktober dan November depan.

“Wings akan mengadakan tiga konsert di tiga tempat berbeza termasuk di Agro Exposition Park Serdang, Selangor dan juga di Singapura,” ulas Awie yang mengakui akan menjaga suaranya menjelang konsert nanti.

Berkongsi rahsia penjagaan suaranya, Awie mengaku berpuasa daripada menjamah minuman berais termasuk menjalani latihan muzik yang berterusan.





“Saya akan mengelak untuk minum ais yang dikisar kerana ia mampu merosakkan peti suara. Cukuplah pengalaman pernah menjalani dua kali pembedahan akibat kerosakan peti suara sebelum ini.

“Selain itu, saya juga akan menjalani latihan suara yang berterusan. Dengan itu saya dapat mengekalkan momentum suara,” jelasnya yang akan kembali menerusi watak Husin dalam filem Hantu Kak Limah.

Galak dalam melontar suara, namun sisi seorang Awie dipatahkan menerusi lakonan komedi dalam filem tersebut.

“Orang yang mula-mula cungkil bakat komedi saya ialah Datuk Afdlin Shauki.

“Bagaimanapun, selepas Mamat Khalid menyedarinya, dia ‘jahanamkan’ lagi karakter komedi saya,” ujar Awie sambil menghambur tawa.

Dia turut mengakui watak Husin cukup memberi kesan mendalam kepada dirinya sehingga ramai yang memanggilnya dengan nama itu.

Post a Comment

Previous Post Next Post