Janji Tulus akan dilunaskan


Buat pemuja muzik penyanyi kelahiran Indonesia iaitu Tulus, kunjungan penyanyi berkenaan ke Malaysia baru-baru ini ibarat mengisi kiub dambaan selama tujuh tahun selepas album pertama lelaki itu diluncurkan pada tahun 2011.

Tulus atau nama lengkapnya, Muhammad Tulus, 30, bukan satu nama asing di Malaysia. Dendangan lagu-lagu popularnya seperti Gajah, Teman Hidup, Pamit dan Manusia Kuat sudah lama berkumandang dan menjadi siulan ramai.

Cumanya, dia belum benar-benar datang ke Malaysia bagi bertemu dan beramah mesra dengan teman media di sini serta pengikut mahakarya muziknya.

Menjelaskan kepada media yang hadir ke majlis pelancaran album ketiganya, Monokrom di Restoran Bait, Intermark, awal Julai lalu, Tulus menjelaskan, bukan dia tidak cakna untuk bertemu dengan peminat di Malaysia, namun kekangan masa dan kurang persediaan menjadi penghalang tertundanya impiannya untuk ke Kuala Lumpur.

“Sebagai penulis lagu dan bekerja di studio sehingga sesebuah album itu siap, ada banyak elemen yang perlu dipersiapkan. Ada banyak hal yang perlu difikirkan dari segi rekod label, pengurusan termasuk proses produksi dan promosi.

“Dipendekkan cerita, banyak perkara yang mesti dimatangkan terlebih dahulu sebelum saya perlahan-lahan memperdengarkan lagu atau album saya secara rasmi di luar Indonesia,” jelasnya membuka cerita.





Waktu tepat

Tambah anak seni kelahiran Bukit Tinggi, Sumatera Barat itu, selepas kelahiran album ketiga, Monokrom, barulah dia mempunyai keyakinan bahawa ini adalah masa paling tepat untuk ke Malaysia mempromosikan diskografi serta berdepan dengan peminat di sini.

“Menerusi album ketiga, saya rasa mudah-mudahan ia adalah waktu tepat (untuk ke Malaysia) kerana jadual promosinya sudah diatur dan kekangan masa tidak terlalu mengganggu.

“Saya bukan tidak mahu melancarkan lagu atau album di sini, namun saya tidak berkesempatan bertemu dengan teman-teman media dan pendengar.

“Bukankah itu membazir. Justeru, apabila sudah tersedia waktu dan peluang seperti saat ini, saya boleh bertemu dengan banyak media, bercerita banyak tentang album,” tutur Tulus yang pernah menerima penghargaan sebagai Rookie of The Year dari majalah Rolling Stone Indonesia pada tahun 2013 atas kejayaan hebatnya dalam cabang muzik.

Ditanya apa inspirasinya dalam membikin sesebuah lagu, Tulus pantas menjawab bahawa dia sentiasa menulis untuk memanjatkan rasa bersyukur.

“Ada sesuatu yang sudah dianugerahkan Tuhan Yang Maha Kuasa terhadap saya iaitu kemampuan menyanyi dan menulis lagu.

“Kalau ia tidak diaplikasikan sebaiknya dan hanya disimpan untuk sendiri, tidak akan banyak seperti sekarang manfaatnya. Jadi, saya selalu tetapkan dalam hati, berkarya untuk bersyukur,” kata pelantun lagu Langit Abu-Abu itu.

Idea, inspirasi

Diajak berbicara lebih dalam tentang inspirasi yang mendorong penulisan karya indah dan sangat dekat dengan pendengar, dengan mudah dia menjawabnya: “Saya boleh mendapat inspirasi ketika sedang memandu dan mungkin di bilik air. Tiadalah istilah perlu bersendirian untuk idea menulis itu datang dan tiada pula ingin panjat ke gunung mencari ilham (tertawa).

“Dari segi nukilan lirik, saya menulis daripada apa didengar, apa yang dirasakan dan apa yang dilihat. Ia tidak melulu hanya tentang saya tetapi boleh jadi kisah daripada teman, keluarga dan keadaan sekeliling.”

Tulus terkenal dengan kecenderungan menyanyikan lagu yang digubah atau ditulis sendiri. Menjawab kesahihan sama ada dia lebih selesa menyanyikan lagu ciptaan sendiri berbanding karya komposer lain, dia menafikan perkara tersebut.

“Album pertama dan kedua, saya akui hampir keseluruhan lagunya dicipta sendiri. Dalam album ketiga, saya mula belajar bersikap terbuka iaitu berkolaborasi dengan orang lain hasil tunjuk ajar penerbit, Ari Renaldi yang saya sudah anggap seperti abang sendiri.

“Hasilnya amat bagus dan saya akui memerlukan peringatan daripada orang lain bahawa saya perlu bersikap terbuka untuk berkolaborasi (menulis lagu) bersama komposer lain. Kalau sesuai dengan imaginasi saya, pasti akan ingin bekerjasama lagi.

“Sejujurnya, menulis lagu bersama orang lain, prosesnya lebih sulit namun kalau sudah terbiasa, ia akan menjadi amat menyenangkan,” ujar Tulus yang pernah menyanyikan lagu komposer lain seperti 1,000 Tahun Lamanya ciptaan Pongki Barata.

Konsert sulung

Bukan sekadar singgah mempromosikan album terbaharu, Tulus sebenarnya ada khabar bahagia buat peminat di Malaysia. Dia bakal muncul dengan penganjuran konsert sulung di negara ini pada tanggal 18 September depan.

Tiket-tiket yang dijadualkan berlangsung di Istana Budaya tersebut sudah boleh dibeli menerusi aman web Myticket. Asia bermula 16 Julai.

Ditanya perasaannya apabila diberi kepercayaan mengadakan persembahan di pentas ikonik tersebut, jawabnya: “Ketika melawat Istana Budaya, bulu roma saya berdiri kerana terlalu teruja. Ketika ini, saya belum boleh berkongsi secara terperinci butiran konsert mini itu.

“Sejujurnya, saya tidak kisah menyanyi di pentas yang kecil atau sebesar stadium. Menyanyi bukan tentang ukuran atau bilangan penonton. Kalau saya menyanyi untuk satu orang, saya akan mengeluarkan tenaga yang sama besar seperti saya menyanyi untuk 10,000 orang.”

Tulus juga sempat diusik satu persoalan. Jika diberi peluang, siapa artis kelahiran Malaysia yang mahu disunting menyanyi dan berkolaborasi dengannya?

Jawabnya secara bertapis berbalut dengan nada seloroh: “Saya belum boleh menjawab soalan itu kerana terlalu banyak pilihan. Saya perlu masa untuk memikirkan hal itu.

“Saya membesar di Bukit Tinggi. Ketika kecil, saya selalu menonton TV3 dan tahu ada ramai penyanyi di Malaysia. Untuk pertanyaan itu beri saya waktu. Takut nanti kalau salah jawab, ibu saya marah (ketawa).”

Peribadi

Diajukan soalan berkaitan gaya nyanyian serta idea muziknya yang disifatkan hampir menyamai penyanyi antarabangsa, Sam Smith sehingga dilabel khalayak sebagai ‘Sam Smith Indonesia’, Tulus bagaimanapun tidak bersetuju dengan jolokan sedemikian. Dalam satu pandangan lain, Tulus bagaimanapun bersetuju tentang tanggapan umum bahawa dirinya seorang yang perahsia.

“Saya tidak mahu setiap lagu yang ditulis terpengaruh dengan cerita yang terlalu peribadi atau subjek yang jelas.

“Kerana tujuan tulis lagu adalah untuk membuatkan ia seperti milik semua pendengar.

“Misalnya, saya tulis tentang cerita kawan yang keluarganya tidak bahagia, saya tidak mahu dedahkan lagu itu tentang siapa dan perlu menjelaskan subjeknya. Itu metod ketika saya membikin lagu, orang Jakarta bilang, ‘ini lagu gue gitu’,” jelasnya.

Sebelum menutup perbualan, Tulus sempat berkongsi tentang perancangan dan material untuk album selanjutnya memandangkan Monokrom sudah dilancarkan di Indonesia pada 2016. Selang dua tahun baru ia dibawa ke Malaysia.

“Dalam katalog sudah ada 10, 15 atau 20 buah lagu, nanti sebelum dipilih akan disaring. Jadi, saya belum mahu dedah soal itu (tentang album) sehinggalah yakin mahu disaring. Bagaimanapun, saya tidak pernah berhenti menulis lagu,” tutupnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post