Imam Muda Asyraf Elak salah guna status


Imam Muda Asyraf mengakui kehidupan sebagai pendakwah dan selebriti membuatkannya tidak terlepas daripada dihambat gosip.

Disebabkan itu, Asyraf atau Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, 34, berkata dia tidak mahu terlalu terbuka berkongsi kisah keluarga agar tidak mengundang fitnah dan cakap-cakap tidak enak dalam kalangan masyarakat.

“Selama ini saya cuba untuk tidak terlalu terbuka berkongsi mengenai kisah keluarga melainkan jika saya berasakan ia bagus sebagai panduan atau rujukan kepada orang ramai.

“Bagaimanapun, tidak semua perkara boleh diceritakan.

“Memang ada yang menghubungi saya beberapa kali untuk bertanyakan soalan tetapi saya jawab dengan baik. Kalau saya rasa bagai ada yang tidak kena, perbualan itu cukup berhenti di situ,” katanya.

Pada masa sama, Asyraf yang juga juara pertama program pencarian Imam Muda seboleh-bolehnya mengelak status sebagai pendakwah untuk mendampingi mana-mana wanita.





“Saya hanya ustaz biasa yang menjalankan tugas untuk berdakwah. Status ini tidak boleh disalah guna hingga timbul pelbagai persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

“Sejujurnya, saya juga kurang selesa dengan gelaran selebriti yang diberikan. Namun, saya perlu akur dan terima hakikat apabila kerap muncul di kaca televisyen menerusi program keagamaan hingga dapat gelaran berkenaan. Oleh itu, saya perlu terima situasi dengan matang,” katanya.

Pada masa sama, Asyraf sekali lagi dihambat gosip apabila dikatakan bakal menikahi seorang gadis berusia 20-an sebagai isteri kedua.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, dia tidak berkemampuan memikul tanggungjawab sebagai suami kepada dua wanita.

“Perkara ini pernah diajukan kepada saya sebelum ini dan sudah dinafikan. Apa boleh dikatakan, hingga sekarang saya tiada perancangan untuk berkahwin lagi.

“Ditambah pula dengan kehadiran cahaya mata ketiga yang kini berusia tiga bulan, saya rasa cukuplah tumpuan diberikan kepada rumah tangga yang dibina ini,” katanya pada majlis rumah terbuka Serai Mas, di Shah Alam, baru-baru ini.

Asyraf menjelaskan perkara itu selepas timbul gosip kononnya dia melamar gadis berusia 20-an yang juga pekerja butiknya awal tahun lalu untuk dijadikan isteri kedua.

Asyraf mendirikan rumah tangga dengan Nur Husna Yusoff pada 2010 dan dikurniakan dua anak lelaki, Aisy Raihan dan Aisy Abdurrahman serta seorang puteri, Setiaku Aisyah.

Perkembangan lain, Asyraf baru saja dilantik menjadi duta produk minuman selama setahun.

“Alhamdulillah, saya baru dilantik dua bulan lalu. Saya terima berdasarkan prinsip sendiri dan selepas berbincang dengan pihak mereka.

Pada masa sama, saya terima tawaran ini atas dasar kekeluargaan. Memandangkan saya tinggal di Bangi dan pejabat mereka juga di situ, jadi kami selalu berjumpa dan berbincang. Proses nak menerima agak lama. Malah, dari tahun lalu lagi mereka pujuk.

“Antara sebab kenapa susah nak terima kerana saya tidak mahu dengan sewenang-wenang menyebut perkataaan makanan sunah dan sebagainya. Selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan garis panduan yang ada beberapa perkataan tidak boleh disebut, ia memudahkan lagi saya. Selepas berbincang, pihak syarikat pun bersetuju,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post