Meskipun berstatus bujang, itu tidak dijadikan alasan buat penyanyi popular, Hael Husaini untuk mengambil anak angkat, Nur Helena Hael yang kini berusia setahun tiga bulan.
Malah, kehidupan pelantun lagu Jampi itu semakin bahagia dalam melalui proses membesarkan Nur Helena yang dijadikan anak angkatnya.
“Kehadiran Nur Helena membuatkan hidup saya menjadi sangat bermakna. Hal ini kerana dia banyak mengajar saya erti kesabaran.
“Jika dulu, saya merupakan seorang yang baran tetapi saya menjadi lebih bersabar sejak hadirnya Nur Helena dalam hidup ini,” katanya ketika ditemui pada majlis akikah anak angkatnya itu di Ruang Subang, Subang Jaya, Selangor.
Pemenang Anugerah Juara Lagu ke–32 itu juga mengakui tidak mudah untuk menjaga dan membesarkan seorang bayi.
Seperti ibu bapa lain, Hael turut berdepan cabaran ketika mula mengambil tugas menjaga Nur Helena sejak Mei tahun lalu.
“Saya berdepan cabaran pada permulaan mengambilnya sehingga dia berusia enam bulan. Seperti yang diketahui waktu itu merupakan masa untuk saya menyesuaikan diri, apatah lagi tiada pengalaman.
“Bagaimanapun, saya berasa lega kerana berjaya mengharunginya dan dapat menguruskan Nur Helena dengan baik, malah saya juga tidak sabar melihat perkembangannya selepas ini,” ujarnya sambil memberitahu, Nur Helena yang kini sudah berusia setahun tiga bulan sudah pandai berjalan.
Rujuk ustaz
Ketika ditanya tanggapan sesetengah pihak berkenaan golongan bujang yang mengambil anak angkat, Hael mempunyai pendapat tersendiri.
Hal ini kerana baginya, dia sudah memikirkan baik buruk setiap tindakan sebelum membuat keputusan tersebut.
Apa yang penting, niat Hael hanyalah mahu menjaga dan membesarkan Nur Helena dalam keadaan sempurna.
“Saya tidak nafikan ada juga yang meninggalkan komen dan mempersoalkan bagaimana hubungan saya dan Nur Helena apabila dia dewasa kelak.
“Sejujurnya susah untuk saya terangkan kepada setiap individu tetapi saya ada merujuk ustaz berkenaan membesarkannya dari sisi agama,” jelasnya yang memberitahu melalui pengalaman indah selepas bergelar bapa kepada Nur Helena.
Bercerita lanjut tindakannya yang mengambil anak angkat perempuan, Hael yang berduet bersama Dayang Nurfaizah menerusi lagu Haram itu memberitahu, dia sendiri tidak mengetahui jantina bayi yang dilahirkan ketika itu.
Malah baginya, jantina bayi yang bakal menjadi anak angkatnya bukanlah persoalan utama.
“Sebenarnya ini merupakan peluang kedua saya ditawarkan untuk mengambil anak angkat. Sebelum ini, ada yang menawarkan tetapi saya belum bersedia ketika itu dan tidak sampai sebulan selepas itu, saya ditawarkan untuk menjadi bapa angkat kepada Nur Helena.
“Saya ambil peluang yang datang walaupun ketika itu karier dan keadaan kewangan saya tidak berapa stabil. Bagaimanapun saya percaya Nur Helena pembawa rezeki saya pada ketika ini,” katanya yang selesa menjaga Nur Helena sendiri dengan bantuan keluarga.
Bercerita mengenai perancangan untuk mendirikan rumah tangga, Hael mengakui sudah bersedia ke arah itu tetapi menyerahkan perkara tersebut kepada ketentuan jodoh selain tidak mahu terburu-buru.
Katanya, biarlah perasaan untuk menamatkan zaman bujang itu datang sendiri tanpa perlu dipaksa.
“Buat masa ini, fokus saya ialah kepada kerjaya seni dan Nur Helena,” katanya.